Lawatan Najib Ke Afrika Selatan Bukti Dasar Luar Malaysia Yang Konsisten - Semasa | mStar

Lawatan Najib Ke Afrika Selatan Bukti Dasar Luar Malaysia Yang Konsisten

JOHANNESBURG: Lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Afrika Selatan bermula Sabtu memberi isyarat kepada pelabur Afrika Selatan dan Malaysia supaya mengambil peluang menerokai perniagaan berdasarkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Kennedy Jawan berkata meskipun lawatan Najib singkat, namun ia merupakan petanda hubungan erat kedua-dua negara serta dasar luar Malaysia yang konsisten dalam menyokong perjuangan rakyat kulit hitam negara itu memperjuangkan hak mereka.

Beliau berkata lawatan Najib adalah atas jemputan Presiden Afrika Selatan Jacob Juma, dan beliau antara 46 ketua negara yang akan berhimpun di Bloemfontein, kira-kira lima jam perjalanan dari sini untuk menyaksikan detik bersejarah sambutan ulang tahun ke-100 parti pemerintah, Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC).

"Kedudukan Malaysia berhubung isu aparteid adalah jelas dan tegas. Bermula daripada Perdana Menteri pertama (Tunku Abdul Rahman) sehingga sekarang, Malaysia telah memperjuangkan hak kaum kulit hitam di Afrika Selatan," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kunjungan Najib ke negara itu.

Jawan berkata selepas hubungan diplomatik terjalin pada 1993, Afrika Selatan menjadi rakan dagang serta pelaburan penting Malaysia dan perdagangan antara kedua-duanya telah meningkat dengan ketara.

"Hubungan erat kedua-dua negara telah terjalin sekian lama meliputi pelbagai bidang kerjasama, antaranya perdagangan dua hala, promosi dan perlindungan pelaburan, pengecualian cukai berganda serta cari gali dan eksploitasi petroleum," katanya.

Jawan juga berkata kekerapan kunjungan pemimpin peringkat tertinggi kedua-dua negara membuktikan kepentingan Afrika Selatan kepada Malaysia.

Lawatan itu turut menyumbang ke arah memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan serta perkembangan kerjasama dua hala dalam semua bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata secara global, Afrika Selatan berada di kedudukan ke-25 sebagai rakan perdagangan terbesar Malaysia dan di kalangan negara-negara Afrika, ia merupakan rakan kongsi perdagangan terbesar Malaysia. Afrika Selatan juga merupakan destinasi kedua terbesar eksport dan sumber import terbesar Malaysia.

Katanya, jumlah keseluruhan perdagangan Malaysia dengan Afrika Selatan tahun lepas mencecah RM5.2 bilion, dengan RM2.79 bilion eksport dan RM2.57 bilion import.

Sebagai contoh, Jawan berkata Mitrajaya Holdings Bhd merupakan salah satu pelabur hartanah utama di Gauteng, Afrika Selatan bagi Blue Valley Golf & Country Estate. Beliau berkata sesetengah syarikat Malaysia yang melabur di Afrika Selatan telah meluaskan operasi mereka di negara itu.

Katanya, sebagai contoh, dalam bidang minyak dan gas, anak syarikat Petronas iaitu Engen Petroleum Ltd memiliki sebuah kilang penapisan di Durban serta mengusahakan sejumlah 1,600 stesen perkhidmatan di seluruh Afrika.

Jawan berkata terdapat ruang yang luas bagi meningkatkan hubungan perdagangan dua hala berterusan antara Malaysia dan Afrika Selatan.

"Malaysia berada dalam kedudukan untuk membekalkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif bagi memenuhi keperluan rakyat Afrika Selatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berkaitan

default image

Najib Bertemu Komponen BN Pahang

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain