suria

Dr Mahathir Nasihat Belia Bijak Memilih Ilmu

SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menasihati golongan muda supaya bijak membuat pilihan dalam memburu ilmu pengetahuan untuk mengelak menjadi mangsa eksploitasi pada era maklumat yang penuh mencabar ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kini, kemahiran bukan saja diperlukan dalam memperoleh pengetahuan, tetapi juga dalam mencari dan mengamalkan sesuatu pengetahuan dengan cara yang sewajarnya untuk mencapai kejayaan.

"Hari ini, kita didatangi pelbagai jenis ilmu pengetahuan dan maklumat yang sesetengahnya boleh menimbulkan bahaya serta kekeliruan, dan sekiranya kita tidak berhati-hati dalam membuat pemilihan, kita akan terpengaruh olehnya.

"Contohnya, propaganda dicipta bagi memutarbelitkan ilmu pengetahuan untuk meraih kelebihan tertentu, dan ia tidak selalunya baik.

"Akibatnya, orang akan tersilap membuat keputusan sekiranya mereka tidak cukup berhati-hati dalam memilih pengetahuan yang dicari," kata beliau ketika menyampaikan ceramah pada Forum Pengurusan Ilmu di sini, Sabtu.

Forum sehari itu dianjurkan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara.

Forum itu antara lain bertujuan mendapatkan pandangan serta maklumat daripada pakar dalam bidang pengurusan ilmu melalui pengalaman mereka dalam mengurus organisasi masing-masing.

Dr Mahathir berkata negara seperti Arab Saudi tidak tersenarai sebagai negara maju walaupun ia mencatat pertumbuhan pesat dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kerana negara itu tidak mampu mengguna pakai pengetahuan untuk membina industri dan menghasilkan barangan sendiri.

Arab Saudi mencatat pendapatan per kapita yang amat tinggi melalui penghasilan 10 juta tong minyak sehari untuk 17 juta penduduknya, berbanding Malaysia yang hanya menghasilkan 600,000 tong sehari untuk 28 juta penduduk, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain