suria

Warga Emas Ditemui Mati Selepas Disamun

KLANG: Seorang warga emas ditemui mati dengan seluruh tubuhnya dibalut kain tebal dan mukanya terdapat kesan lebam dalam sebuah bilik di rumahnya di Lot 1363, Jalan Wak Hassan, Batu 4, Kapar di sini malam Khamis.

Rahimah Mohd Noor, 74, ditemui mati oleh adik perempuannya yang berkunjung ke rumah mangsa kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Supt Mohamad Shukor Sulong berkata polis percaya kejadian itu berlaku dalam tempoh satu hingga dua jam sebelum mayat wanita itu ditemui.

"Siasatan menunjukkan pintu depan rumah mangsa tidak berkunci dan polis percaya mangsa disamun sebelum dibunuh berdasarkan kesan selongkar pada almari baju selain seutas rantai dan sebentuk cincin yang dipakai mangsa turut hilang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Jumaat.

Mohamad Shukor berkata wanita yang tidak berkahwin itu tinggal bersendirian manakala anggota keluarga yang lain tinggal di kawasan berdekatan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kesan lebam di muka wanita itu adalah akibat dihentak ke lantai beberapa kali.

Mayat wanita itu dihantar ke Hospital Ampuan Rahimah, Klang untuk bedah siasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain