suria

Tiga Lelaki Ditahan Tiga Jam Selepas Penemuan Mayat Seorang Lelaki

KOTA KINABALU: Polis mengambil masa hanya kira-kira tiga jam untuk menahan tiga lelaki berhubung kes pembunuhan seorang lelaki di Menggatal dekat sini tengah hari Khamis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Ahmad Sofi Zakaria berkata mereka ditahan antara 8 malam dan 9.25 malam semalam selepas mayat Musli Salleh, 27, ditemui terbaring dengan berlumuran darah di atas lantai kira-kira 5 petang di sebuah pusat biliard.

Beliau berkata suspek terbabit, kesemuanya penduduk tempatan masing-masing berumur 31, 25 dan 19 tahun, yang bekerja sebagai buruh, ditahan di lokasi berasingan.

Dua daripada suspek adalah penagih dadah dan mempunyai rekod jenayah lampau, katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis daerah Kota Kinabalu di Karamunsing di sini Jumaat.

Beliau berkata suspek pertama berusia 25 tahun, ditahan di Batu 5 Pintasan Tuaran kira-kira 8 malam, manakala suspek berumur 19 tahun pula ditahan empat minit kemudian di sebuah kawasan setinggan di Menggatal.

"Polis menahan suspek ketiga pula di Taman Richdar (juga di Menggatal) kira-kira 9.25 malam," katanya.

Ahmad Sofi berkata polis percaya pertengkaran tercetus antara mangsa dan suspek yang membawa kepada pergaduhan di pusat biliard itu.

Beliau berkata mangsa dipukul dengan objek keras, dipercayai kepala tali pinggang, di bahagian muka dan kepala.

Suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain