suria

Polis Siasat Pengurup Wang Berhubung Kes Samun

GEORGE TOWN: Polis akan menyiasat pengurus sebuah syarikat pengurup wang, yang disamun di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) semalam, kerana membawa keluar wang lebih US$10 ribu tanpa mengisytiharkannya kepada pihak berkuasa.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata setiap individu yang membawa keluar negara lebih US$10 ribu hendaklah memaklumkannya kepada pihak berkuasa khususnya kastam atau polis.

"Kami akan menyiasat mengapa pengurus berkenaan tidak memberitahu polis atau kastam," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Dalam kejadian berkenaan, pengurus yang berusia lingkungan 50an itu yang sedang membawa wang ke Singapura, kerugian RM700,000 dan cedera pada tangan kanan apabila tiga lelaki bersenjatakan parang merompaknya.

Abdul Rahim berkata polis sedang mengesan ketiga-tiga suspek yang telah melarikan diri menggunakan kereta Proton Waja.

"Kami sedang menyiasat kes tersebut dan menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenainya supaya membuat laporan di balai polis berhampiran," katanya.

Abdul Rahim berkata kejadian berlaku di tempat yang tidak begitu ramai orang dan pondok polis LTAPP berada agak jauh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dengan sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama 20 tahun serta sebatan," katanya.

Beliau berkata, polis sedang membuat kajian untuk memastikan keselamatan di lapangan terbang itu yang baru dinaiktaraf akan lebih terjamin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain