suria

Polis Benarkan Demo 901

KUALA LUMPUR: Polis membenarkan kumpulan pembangkang meneruskan demonstrasi 901 secara aman selaras dengan semangat Akta Perhimpunan Aman 2011.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, kumpulan pembangkang dibenarkan mengadakan perhimpunan pada Isnin ini di tempat letak kereta awam di luar kompleks Mahkamah Jalan Duta.

"Berdasarkan perbincangan, pihak polis benarkan mereka mengadakan perhimpunan selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2011 yang belum digazetkan.

"Kita bersetuju benarkan mereka berhimpun di tempat letak kereta," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Persetujuan itu dibuat ketika mengadakan pertemuaan dengan wakil pembangkang yang diketuai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali.

Selain Mohamed Azmin, empat lagi pemimpin PKR yang turut serta dalam pertemuan kira-kira dua jam itu ialah Naib Presiden, N. Surendran; Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Wanita, Zuraida Kamaruddin dan Pengarah Strategi, Mohd Rafizi Ramli.

Sementara itu, Mohd Azmin ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa perhimpunan berkenaan akan dijalankan secara aman dengan bantuan dan pengawasan pihak polis.

Menurut beliau, perbincangan terpeinci mengenai perjalanan perhimpunan itu sudah dibuat dengan teratur.

"Kita sudah bermuafakat untuk meneruskan perhimpunan aman ini.

"Pihak kami juga memberi jaminan untuk menjaga keamanan rakyat dan orang awam malah kita akan bersama-sama pihak polis akan pastikan semuanya berjalan dengan teratur," katanya.

Bagaimanapun Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak enggan mendedahkan perbincangan terpeinci terutama mengenai pelan perhimpunan tersebut seperti yang dipersetujui bersama pihak polis.

"Beberapa perincian mengenai perhimpunan ini akan saya maklumkan pada sidang media khas petang ini di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya," katanya.

Dalam pada itu Mohamed Azmin menegaskan bahawa perhimpunan berkenaan dibuat bagi menunjukkan solidariti kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ini bukan perhimpunan untuk protes, tapi sebagai solidariti rakyat kepada Datuk Seri Anwar," katanya.

Mengulas mengenai kehadiran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang turut menganjurkan program dakwah di Masjid Wilayah pada hari yang sama, Mohamed Azmin berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku sebarang provokasi atau pertembungan yang boleh mengakibatkan keadaan huru-hara.

"Saya tak mahu buat sebarang spekulasi, kita serah kepada kebijaksanaan polis untuk menguruskan mereka.

"Tapi kita juga tak akan timbulkan sebarang spekulasi," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain