suria

Polis Ambil Sejam Selesai Tiga Kes Samun Di Subang Jaya

PETALING JAYA: Dalam tempoh sejam, polis berjaya menahan kumpulan tiga lelaki bersenjatakan parang selepas mereka dipercayai menyamun di sekitar Subang Jaya dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata ketiga-tiga lelaki itu masing-masingnya ditahan di tepi jalan di Lebuhraya Baru Pantai pada 1.30 pagi, di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 9.30 pagi dan di PJS 5/6, Petaling Jaya pada 1 petang.

Beliau memberitahu pemberita bahawa sebelum tangkapan itu dibuat, ketiga-tiga penjenayah itu menyamun sebuah telefon bimbit kepunyaan seorang pelajar rakyat Colombia, yang ketika itu bersama teman wanitanya, warga Turkmenistan, di hadapan Subang Parade dekat sini pada 12.30 tengah malam.

"Penjenayah itu kemudian menyamun RM80 serta pelbagai dokumen milik seorang wanita tempatan di depan rumahnya di SS12/1B, di Subang Jaya pada 12.45 pagi dan 15 minit kemudian mereka melarikan sebuah kereta milik ahli farmasi di depan tempat kerjanya di Pusat Perubatan Sime Darby di sini," katanya.

Yahaya berkata sebaik menerima aduan daripada mangsa, polis terus bertindak memburu penjenayah dan dalam tempoh sejam mereka telah ditahan.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga penjenayah itu, yang berumur antara 20 dan 30 tahun, didapati positif dadah dan juga mempunyai rekod jenayah lampau termasuk mencuri, menyamun, salah guna dadah dan mencederakan mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain