suria

Pemuda Umno Kulim-Bandar Baru, NGO Mahu Ketua Polis Negara Bersikap Tegas

BANDAR BAHARU: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu bersama tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain pada Jumaat mendesak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar supaya bersikap tegas dan tidak berkompromi dengan pihak yang cuba melancarkan demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901'.

Wakil pergerakan itu yang juga wakil Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulim/Bandar Baharu Helmy Abdul Khan berkata sikap berlembut dengan menawarkan lokasi lain supaya satu perhimpunan sama diadakan seolah-olah memberi satu ruang dan peluang kepada mereka untuk mengambil kesempatan sedangkan mereka tidak menghormati undang-undang negara.

Helmy berkata demikian kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis daerah Bandar Baharu, Serdang, dekat sini, Jumaat.

Laporan polis yang sama turut dibuat oleh pemimpin-pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Cawangan Daerah Bandar Baharu, Parti Gerakan, PPP, MIC, MCA, Majlis Belia Daerah Bandar Baharu dan Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Daerah Bandar Baharu.

Menurut beliau, pihaknya juga kecewa dengan adanya cadangan supaya tarikh menjatuhkan hukuman yang telah ditetapkan pada 9 Januari ini mahu ditunda.

"Sudah lebih 60 kali penundaan dibuat dalam siri perbicaraan itu yang memakan masa hampir 3 tahun, tidak cukup adil lagikah pihak mahkamah sehingga kini. Amat tidak logik sekali jika tarikh menjatuhkan hukuman itu dipinda," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain