suria

Pekida Beri Amaran Pembangkang Jangan Lakukan Provokasi

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Islamiah dan Dakwah Malaysia (Pekida) memberi amaran kepada peserta demonstrasi 901 agar tidak melakukan provokasi terhadap program dakwah kumpulan berkenaan yang diadakan di Masjid Wilayah Jalan Duta pada Isnin ini.

Ahli Majlis Tertinggi Perkida, Mohd Syaril Abdul Aziz berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya sekiranya program mereka diganggu oleh penyokong pembangkang.

"Pekida ada program dakwah, kita adakan solat hajat dan qiamullail pada bermula petang Ahad dan berakhir kira-kira 11 pagi Isnin.

"Kami nak beri amaran kepada penyokong Anwar supaya jangan buat kacau atau lakukan provokasi terhadap program kami.

"Kalau buat onar, kami akan ambil tindakan. Kami tak halang mereka datang ke masjid, tapi amaran kami ialah supaya mereka tak buat kacau," katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Beliau hadir bagi memberi penjelasan berhubung program anjuran Pekida yang dilihat seakan bertempung dengan rancangan demonstrasi 901 anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bagaimanapun menurut Mohd Sharil, penganjuran program dakwah berkenaan telah dirancang lebih awal dan tiada kaitan dengan pengumuman mahkamah mengenai keputusan dakwaan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin ini.

Sementara itu Timbalan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Abd Rahman Abu Bakar memberi jaminan bahawa ahli pertubuhan itu tidak akan melakukan provokasi pada hari berkenaan.

"Kita memberi jaminan bahawa ahli Perkasa tidak akan membuat sebarang provokasi dan mencetuskan ketegangan.

"Kita hanya akan mengikuti program dakwah yang dianjurkan Pekida, kita tak akan keluar daripada kawasan masjid," katanya yang turut hadir memberi penjelasan kepada polis di IPK Kuala Lumpur.

Artikel Sebelum

Artikel Lain