suria

Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Perak Ditahan Sehingga Rabu Depan

IPOH: Seorang pegawai kanan Jabatan Perhutanan Perak yang diberkas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika serbuan di kediamannya di kuarters kerajaan berhampiran Kem Tentera di Gerik awal pagi semalam, ditahan sehingga Rabu depan.

Pengarah SPRM Negeri Nooraziah Abd Manaf berkata pegawai terbabit ditahan semalam apabila dipercayai menyembunyikan wang tunai RM720,000 dan beberapa buku amanah saham membabitkan pelaburan bernilai lebih RM4 juta di kediamannya.

"Siasatan yang kita jalankan tidak menolak kemungkinan bahawa terdapat individu lain yang terlibat. Bagaimanapun kita akan siasat dan setakat ini belum ada tangkapan lain yang diperolehi," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Laporan akhbar Jumaat, mendedahkan pegawai kanan yang berusia lingkungan 50-an itu ditahan pada pukul 2 pagi ketika berada di dalam rumah bersama isteri serta beberapa anaknya.

Hasil pemeriksaan menemui wang tunai tersebut yang disusun rapi dalam lipatan telekung dan sebahagian lagi bersama beberapa buku pelaburan disembunyikan berasingan di beberapa lokasi termasuk di dapur serta ruang tamu rumah.

Tangkapan itu susulan daripada penahanan seorang lagi pegawai kanan jabatan itu bersama seorang 'tauke balak', masing-masing berumur 40 dan 50 tahun berkaitan kes mencuri balak bernilai lebih setengah juta ringgit di Hutan Kuak Luar berdekatan Pengkalan Hulu, Rabu lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain