suria

Nelayan Pontian Ditahan Indonesia Dibebaskan

PUTRAJAYA: Enam nelayan dari Pontian, Johor, yang ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu tahun lepas dibebaskan semalam setelah diberi pengampunan oleh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada 24 Dis lepas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan, yang juga Anggota Parlimen Pontian, berkata mereka akan dibawa pulang dan dijangka tiba di Jeti Bandar Hilir Melaka pada 2 petang Jumaat.

"Urusan membawa mereka pulang sedang dibuat oleh Pejabat Konsul Malaysia di Pekan Baru, Indonesia," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Keenam-enam nelayan itu bersama seorang lagi warga Indonesia ditahan pada 3 Mac tahun lepas dan dituduh memiliki, menguasai dan membawa alat bantu penangkapan ikan yang mengganggu dan merosak sumber daya ikan di wilayah pengelolaan perikanan Indonesia.

Mereka dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda berjumlah 1 milyar Rupiah yang bersamaan RM380,000 seorang, dengan tambahan penjara enam bulan sekiranya tidak mampu membayar denda itu. Hukuman itu dikekalkan walaupun setelah dibawa ke Mahkamah Rayuan pada 5 Mei.

Malah, hukuman berkenaan ditambah kepada kepada penjara empat tahun setelah dibawa ke Mahkamah Agung di Jakarta pada 9 Ogos tahun lepas sebelum diberi pengampunan oleh Presiden untuk mengurangkan hukuman sebanyak tiga tahun dan tiga bulan justeru membolehkan kesemua mereka dibebaskan semalam.

Ahmad berkata pengampunan itu diperoleh setelah perkara itu dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam dua pertemuan beliau dengan Presiden Susilo.

"Saya sebagai wakil ahli keluarga nelayan yang terlibat ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri, Presiden Indonesia, Wisma Putra, Konsul Pekan Baru, Kedutaan Malaysia di Indonesia, Kedutaan Indonesia di Malaysia dan semua yang terlibat dalam proses ini.

"Ini merupakan sesuatu yang baik dalam mengukuhkan hubungan dua hala antara dua negara ini dan ia juga wajar dijadikan pengajaran kepada semua pihak agar lebih berhati-hati dalam semua perkara," katanya.

Nor Aisyah Jamari, 37, isteri kepada seorang daripada nelayan yang terbabit, Redzuan Aris, 36, begitu gembira apabila diberitahu mengenai berita tersebut, malah bapa mentuanya yang berada hospital kerana sakit jantung juga terus cergas apabila mengetahui perkara itu.

Mengimbas kembali detik-detik penangkapan suaminya itu, beliau berkata dunia dirasakan gelap apabila diberitahu suaminya ditangkap oleh pihak berkuasa Indonesia, lebih-lebih lagi beliau tidak bekerja dan terpaksa memikirkan mengenai perbelanjaan harian termasuk untuk keperluan tiga anaknya yang berusia 10 hingga 14 tahun.

"Jadi saya berterima kasih dengan usaha kerajaan dari awal lagi untuk membebaskan mereka ini yang secara tidak langsung membuktikan kami tidak bersendirian, terutama kepada Datuk Ahmad Maslan yang telah banyak memberi bantuan kewangan dan barang keperluan termasuk perbelanjaan persekolahan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain