suria

Najib Solat Jumaat Bersama Penduduk Kuala Kubu Baharu

HULU BERNAM: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat singgah menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimah Kuala Kubu Baharu di sini sempena program turun padang sehari beliau ke kawasan Parlimen Hulu Selangor.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu ungu muda tiba di masjid pada 1.15 tengah hari dan disambut oleh anggota jawatankuasa masjid berkenaan.

Beliau kemudiannya menunaikan solat sunat sebelum mendengar khutbah Jumaat dan seterusnya menyertai 1,00 jemaah menunaikan solat Jumaat yang diimamkan Ustaz Mohamad Said.

Selepas solat, Perdana Menteri menandatangani buku pelawat masjid berkenaan sambil berbual-bual dengan ahli jawatankuasa masjid serta beberapa jemaah.

Najib, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, kemudiannya bersalaman dengan jemaah serta kanak-kanak yang dari awal beratur untuk menatap wajah beliau dari dekat.

Perdana Menteri kemudiannya meredah terik matahari berjalan melintasi jalan ke Pusat Khidmat Rakyat 1Malaysia Barisan Nasional, yang terletak berhadapan masjid berkenaan untuk makan tengah hari bersama pemimpin Umno dan parti komponen BN negeri dari Kuala Selangor, Hulu Selangor, Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjung Karang.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Anggota Dewan Undangan Negeri Hulu Bernam, Datuk Mohd Idris Abu Bakar dan ADUN Kuala Kubu Baharu, Wong Koon Mun.

Selepas selesai menjamu selera, Najib meneruskan program turun padang dengan menghadiri majlis perasmian Karnival Perdana Komuniti 1Malaysia di Bukit Sentosa, dekat sini.

Beliau memulakan program dengan lawatan mesra ke Felda Gedangsa serta meninjau perkembangan pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan di Hulu Bernam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain