suria

Lapor Kepada PAC Jika Tidak Puas Hati Dengan KLIA 2:Kong Cho Ha

PUTRAJAYA: Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua boleh melaporkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) jika beliau tidak berpuas hati dengan perkara berbangkit mengenai KLIA 2, termasuk dakwaan kenaikan kos akibat berpindah ke terminal baru dari lokasi asal.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha berkata Pua, dalam kenyataannya sebelum ini, pernah berhasrat melaporkan isu itu kepada PAC jika Kong tidak memberi penjelasan.

"Kenapa sampai sekarang dia tidak rujuk kepada PAC? Jadi, semua boleh diterangkan, dan siapa-siapa yang berkenaan akan dipanggil. Jika nak rujuk kepada PAC, sila teruskan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Pua sebelum ini dipetik sebuah portal berita sebagai berkata Kong dan MAHB perlu bertanggungjawab terhadap kemelut pembinaan KLIA 2, yang menyaksikan kos peralihan tapak hampir RM3.9 bilion berbanding pelan asal iaitu RM1.7 bilion.

Mengulas lanjut, Kong berkata Pua sengaja mempolitikkan isu itu sedangkan maklumat mengenai pembangunan KLIA 2 sentiasa dimaklumkan MAHB, sama ada melalui laman web atau kenyataan akhbar.

Dalam pada itu, beliau berkata pembangunan KLIA 2 dijangka siap mengikut tempoh yang ditetapkan dan dijangka beroperasi pada April 2013.

Beliau juga percaya kerja-kerja pembinaan adalah mengikut prosedur yang ditetapkan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain