suria

Komuniti 1Malaysia Penggerak Utama Program BN:Rais

HULU SELANGOR: Komuniti 1Malaysia, sebuah pertubuhan sukarelawan yang disertai pelbagai kaum di negara ini, bakal menjadi penggerak utama dalam melancarkan program di bawah naungan Barisan Nasional (BN).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata komuniti itu, yang setakat ini mencecah 2,000 unit di seluruh negara, akan memainkan peranan bagi memastikan Gagasan 1Malaysia ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak difahami serta diamalkan rakyat.

"Bersama-sama dengan 2,000 unit ini, termasuk agensi di bawah kementerian, kita akan memupuk rangkaian untuk membantu kerajaan menjalankan tugas dengan prihatin, adil dan berkesan.

"Dengan lain perkataan, apa sahaja dianjurkan BN, unit Komuniti 1Malaysia akan bergerak, bekerja mewujudkan sukarelawan, menjadi pendokong, memberi ceramah, membantu orang yang susah dan kerja-kerja komuniti atau kemasyarakatan lain," katanya ketika berucap pada Pelancaran Komuniti 1Malaysia di sini Jumaat.

Projek itu, yang dirasmikan Najib, bertujuan memupuk perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia selain mewujudkan masyarakat celik maklumat selari dengan aspirasi 1Malaysia.

Rais turut mengingatkan rakyat supaya menilai dan menghargai segala usaha kerajaan, yang sentiasa komited dalam memperjuang serta memperkasakan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata usaha itu harus dibalas dengan sokongan padu dan kerjasama erat yang berterusan antara rakyat dengan pemerintah.

"Kita juga harus terjemahkan tanggungjawab kita, dan kita selalu berkata ada ubi ada batas, ada budi ada balas, setelah sekian banyak dicurahkan oleh perjuangan, kita cari jalan macam mana nak menyokong.

"Maka, kita harus memastikan Gagasan 1Malaysia berjaya supaya negara dan bangsa kita tetap kuat, utuh dan berjaya dalam pilihan raya akan datang," katanya.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil serta Anggota Parlimen Hulu Selangor P. Kamalanathan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain