suria

Enam Nelayan Malaysia Selamat Tiba Selepas Dipenjara 10 Bulan Di Indonesia

MELAKA: Enam nelayan Malaysia yang dipenjara hampir 10 bulan oleh pihak berkuasa Indonesia kerana didakwa menceroboh perairan negara itu selamat tiba di tanah air pada Jumaat selepas mendapat pengampunan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Kesemua mereka serta seorang lagi nelayan warga Indonesia yang ditahan di perairan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia pada 8 Mac tahun lepas dibebaskan daripada Penjara Bengkalis pada Rabu lepas selepas Presiden Indonesia menawarkan pengampunan iaitu pengurangan hukuman penjara tiga tahun tiga bulan dan menghapuskan denda satu milyar Rupiah (RM350,000) seorang.

Pengadilan Negeri Bengkalis pada 5 Mei 2011 menjatuhkan hukuman enam bulan penjara serta denda satu milyar Rupiah terhadap kesemua mereka sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Agung di Jakarta.

Bagaimanapun, mahkamah itu memutuskan hukuman penjara dinaikkan kepada empat tahun serta denda dengan jumlah sama dan enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Kesemua mereka Jamil Mohd Top, 53; Mohd Zamri Hambali, 26; Rosli Abd Rashid, 34; Zainodin Adam, 53; Ridzwan Aris, 35; Ibrahim Mohd Kasim, 29; tiba di Jeti Feri Banda Hilir di sini kira-kira pukul 1.30 tengah hari dengan menaiki feri dari Bengkalis dan disambut ahli keluarga dalam satu pertemuan penuh kesyukuran.

Seorang daripada nelayan berkenaan, Ridzwan berkata pengalaman dipenjarakan selama hampir 10 bulan di Indonesia memberi sedikit tekanan dan pengajaran berharga kepadanya setelah 15 tahun menjadi nelayan.

Beliau berkata pelbagai perkara difikirkan termasuk kehidupan isteri dan tiga orang anak yang bergantung harap sepenuhnya kepadanya dalam mencari rezeki untuk keluarga.

"Perkara itu berlaku amat pantas dan sepanjang 10 bulan dipenjarakan saya tidak putus-putus berdoa agar dapat kembali ke pangkuan keluarga yang sememangnya menanti kepulangan saya," katanya ketika ditemui di sini, Jumaat.

Namun, dia bersyukur kerana diberi layanan baik sepanjang berada di penjara republik itu sebelum mendapat pengampuan daripada Presiden Indonesia.

"Saya dan enam rakan lain berasa amat gembira dan tidak dapat tidur kerana terlalu seronok dengan berita pengampunan yang disampaikan," katanya.

Ridzwan berkata dia akan terus menjadi nelayan dan mengambil langkah berhati-hati selepas ini bagi mengelak perkara sama berulang.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang turut hadir di jeti berkenaan berkata pembebasan kesemua nelayan yang berasal dari Pontian, Johor terbabit merupakan suatu peristiwa bersejarah dan mencerminkan keharmonian hubungan Malaysia-Indonesia.

"Ini merupakan sejarah kerana tidak pernah berlaku rakyat Malaysia menerima pengampunan Presiden Indonesia... saya amat menghargainya," katanya.

Ahmad, yang juga Anggota Parlimen Pontian, turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berbincang dengan rakan sejawatnya di Indonesia berhubung perkara berkenaan sehingga membawa kepada pembebasan kesemua nelayan itu.

"Saya telah memaklumkan mengenai perkara ini kepada Perdana Menteri dan beliau amat gembira dengan perkhabaran baik ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain