suria

Empat Wanita Warga Asing Ditahan Disyaki Terlibat Aktiviti Tidak Bermoral

SEREMBAN: Jabatan Imigresen Negeri Sembilan menahan empat wanita warga China dalam operasi di sebuah hotel bajet di sini pada Jumaat kerana disyaki terlibat di dalam aktiviti tidak bermoral.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Abdul Kadir Hussin berkata anggotanya menyerbu hotel bajet berkenaan yang menempatkan kesemua warga asing itu pada kira-kira pukul 4.30 petang.

"Keempat-empat wanita warga asing yang berumur antara 25 hingga 30 tahun yang kita selamatkan ini akan ditahan untuk siasatan sebelum kita hantar mereka ke tempat perlindungan. Kes ini disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Katanya dalam operasi tersebut anggotanya terpaksa memecah pintu sebuah bilik hotel berkenaan kerana wanita warga asing itu enggan membuka pintu.

Abdul Kadir berkata operasi itu merupakan susulan daripada maklumat yang diperolehi sebelum ini yang melibatkan warga asing yang disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral di sekitar bandar ini.

Katanya mereka terbabit dipercayai bergerak dari satu hotel ke satu hotel bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Dalam masa yang sama, kita masih lagi mengesan pihak yang terlibat dalam kes ini. Kita telah mengenal pasti sindiket ini dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan mereka. Kita kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk menahan mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain