suria

Demo 901: Tiada Perarakan, Hanya Berhimpun: Azmin

PETALING JAYA: Pembangkang memberi jaminan bahawa rancangan demonstrasi 901 tidak akan membabitkan sebarang perarakan jalanan yang boleh mencetuskan suasana huru-hara serta mengganggu keadaan lalulintas.

Selain itu Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali turut menyatakan bahawa perhimpunan yang bertujuan memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya akan diadakan di satu lokasi seperti yang dipersetujui polis.

"Tak ada sebarang perarakan dan tak ada perhimpunan yang sama di tempat-tempat lain pada hari dan waktu yang sama. Kita hanya akan berkumpul di satu kawasan iaitu di tempat letak kereta awam di luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

"Saya beri jaminan bahawa perhimpunan ini akan berlangsung secara aman dengan bantuan pihak polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.

Himpunan berkenaan mendapat kelulusan pihak polis setelah wakil pembangkang mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur pagi tadi.

Sebelum ini PKR dilaporkan bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada jumlah kehadiran penyokong yang ramai akan menimbulkan suasana huru-hara serta kemungkinan hilang kawalan di kalangan peserta demonstrasi, Mohamed Azmin berkata beliau yakin pihak polis mampu menangani perkara berkenaan terutama dalam menyusun pergerakan peserta.

"Saya sudah berikan taklimat kepada polis mengenai mobilisasi yang sedang kita gerakkan iaitu bagi mengumpul sehingga 100,000 penyokong. Jadi mereka pasti sudah bersedia dengan kepakaran mereka untuk menempatkan kesemua yang hadir di kawasan lapang yang sudah dipersetujui.

"Saya tak ada kepakaran dalam menentukan pergerakan tersebut. Saya yakin polis bersedia untuk menerima kehadiran penyokong yang ramai serta memastikan aliran trafik bergerak lancar," katanya.

Dalam pada itu Mohamed Azmin turut optimis bahawa pihaknya akan berjaya mengumpul sehingga 100,000 penyokong bagi menunjukkan solidariti kepada Anwar.

Tambah Ahli Parlimen Gombak itu lagi, PKR bersama-sama Pakatan Rakyat turut menyediakan seramai 500 petugas khas beruniform bagi membantu polis mengawal kelancaran perhimpunan berkenaan yang dijadual bermula pada pukul 7 pagi Isnin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain