suria

Tidak Relevan Heret Rakyat Jadi Hakim Untuk Kes Anwar:Ahmad Maslan

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan berkata adalah tidak relevan untuk mengheret rakyat sebagai hakim dalam kes perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dirancang melalui Kempen "Bebaskan Anwar 901" Isnin ini.

"Rakyat hakim negara ini hanya retorik pembangkang. Rakyat menentukan kepimpinan negara dalam pilihan raya itu betul tapi rakyat hakim negara itu tak betul kerana hakim adalah pakar undang-undang dan mereka tahu yang mana salah yang mana tidak.

"Kalau kita nak rakyat jadi hakim negara, itu waktu pilihan rayalah. Tetapi dalam bidang perundangan hakimlah yang wajar menjadi hakim," katanya kepada pemberita di sini Khamis.

Ketua Penerangan Umno itu berkata kes itu juga adalah kes individu, jadi tidak perlu membabitkan rakyat untuk kepentingan mereka.

Beliau berkata pembangkang sebenarnya menganggap keamanan negara ini sebagai satu beban, yang boleh menyebabkan kekalahan mereka dalam pilihan raya dan atas alasan itu, mereka terus mencipta kekecohan termasuk mengadakan demonstrasi jalanan seperti itu.

Mengenai kenyataan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meminta kerajaan tidak perlu halang demonstrasi tersebut kerana ia merupakan hak individu, Ahmad berkata hak individu juga adalah tertakluk kepada undang-undang negara. - BERNAMA

Artikel Lain