suria

Polis Guna Pendekatan Proaktif, Temui Penganjur Kempen

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan pendekatan proaktif bagi menghadapi kemungkinan perhimpunan haram yang dirancang diadakan Isnin ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar hari ini berkata beliau telah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh menemui untuk penganjur Kempen Bebaskan Anwar 901.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai pertemuan itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama warga Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Pangkalan FRU Cheras di sini.

Dalam ucapannya sempena kunjungan pertama ke pangkalan itu, Ismail berkata beliau percaya dengan kemampuan dan kesiapsiagaan FRU dalam menangani apa jua kemungkinan dan ujian mendatang.

"Mungkin dalam masa terdekat ini, sekali lagi kita akan diuji di dalam perhimpunan yang mereka namakan 901 dan saya amat yakin serta percaya pasukan FRU terutamanya telah bersedia dan mampu menghadapi apa jua kemungkinan yang datang.

"Keyakinan itu adalah atas faktor pengalaman lepas, pendedahan modul latihan yang lebih mantap berserta panduan dan bimbingan pucuk pimpinan (pasukan) yang telah diperoleh," katanya.

Sehubungan itu, Ismail mengingatkan warga FRU supaya menjaga setiap gerak-geri, nama baik pasukan serta senantiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam setiap tugasan kerana ada pihak yang tidak berpuas hati serta mempunyai agenda tersembunyi seringkali sengaja mencari kesalahan untuk mencalarkan imej pasukan.

"Jangan salah langkah, jaga gerak geri dan kurangkan kesilapan kerana hanya satu kesilapan kecil, akan ada pihak memperbesarkan seolah-olah polis yang jahat biarpun hakikatnya kita telah cuba menjadi yang terbaik.

"FRU juga perlu menggunakan pendekatan 2F iaitu 'Friendly and Flexibility' yang mana pendekatan ini bukan bermakna kita harus mengalah tetapi lebih kepada menyesuaikan diri dalam apa juga bentuk tugasan, dengan seboleh-bolehnya meminimumkan kecederaan," katanya.

Ismail berkata PDRM juga tidak berkompromi terhadap mereka yang sengaja menyalahgunakan kuasa, membelakangkan undang-undang dan mengambil kesempatan untuk diri sendiri kerana kelompok itu hanya akan merosakkan kecemerlangan yang telah dibina selama ini.

Justeru, katanya, warga FRU khasnya perlu mempersiapkan mental dan fizikal serta latihan bertahap tinggi bagi berhadapan dengan fenomena itu untuk mengelakkan sebagai liabiti kepada pemerintah dan sebagai kambing hitam di negara sendiri.

Ismail turut menafikan tanggapan pihak luar bahawa FRU hanya pasukan tambahan dan tidak penting berbanding pasukan lain di dalam PDRM.

"Kedudukan FRU dalam PDRM amat istimewa dan pasukan itu adalah 'IGP's Reserve' di mana hanya saya yang boleh menggerakkan operasi pasukan tersebut samada di dalam negara mahupun untuk tugasan di luar negara," katanya.

FRU, yang mempunyai kekuatan 2,400 pegawai dan anggota di seluruh negara, berjaya menangani dengan cemerlang lebih daripada 90 insiden yang melibatkan ketenteraman awam sejak Disember 1955, katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Shafie Bakri menyifatkan perhimpunan haram 9 Jan depan sebagai perbuatan menyemai sikap ganas dan cubaan menghasut rakyat negara ini supaya menentang pelaksanaan undang-undang negara.

Beliau bimbang kesan daripada perhimpunan itu nanti, akan menimbulkan kekecohan melampau sehingga boleh menggugat keamanan dan keharmonian rakyat negara ini.

"Apa akan jadi sekiranya wujud provokasi yang melampau dalam perhimpunan tersebut. Bagaimana kalau berlakunya letupan, amukan, kebakaran, rusuhan dan sebagainya sehingga membawa kepada kerosakan besar pada harta benda, kecederaan parah dan kematian. Siapa yang akan dipersalahkan sekiranya ini berlaku?" katanya.k kepada pemberita. - BERNAMA

Artikel Lain