suria

Perkasa Buat Laporan Polis Berhubung Kenyataan Azmin Mengenai Demonstrasi

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pada Rabu membuat laporan polis berhubung kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali yang didakwa berbaur hasutan mengajak rakyat hadir pada demonstrasi kempen "Bebaskan Anwar 901" yang dirancang di Kuala Lumpur Isnin ini.

Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, menggesa polis menyiasat kenyataan Azmin dalam satu laman portal tempatan yang didakwa menghasut rakyat berhimpun dan menyertai kempen "Bebaskan Anwar 901" di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Azmin dilaporkan berkata, pakatan pembangkang bersetuju untuk menggerak dan mengumpulkan penyokong mereka berhimpun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur walaupun polis mengeluarkan arahan keras untuk tidak membenarkan perhimpunan tersebut diadakan. Syed Hassan berkata, tindakan Azmin itu boleh mengancam keselamatan negara serta menimbulkan kekacauan Isnin ini.

Ditanya sama ada Perkasa akan mengadakan demonstrasi balas, Syed Hassan berkata, Perkasa akan menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menanganinya tanpa masuk campur dan berdemonstrasi pada hari tersebut.

"Kita tidak akan mengadakan perhimpunan balas tetapi kita akan mengadakan solat sunat hajat sebelum solat Asar 8 Januari di Masjid Wilayah Jalan Duta dan dijangkakan 500 orang turut serta," katanya.

Perkasa sebelum ini telah membuat kira-kira 30 laporan polis di seluruh negara berhubung demonstrasi "Bebaskan Anwar 901".

Badan bukan kerajaan, Gabungan Pertubuhan Kerajaan Selangor Dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (GPBKSWPKL) juga membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada Rabu berhubung isu yang sama.

Yang Dipertua GPBKSWPKL, Datuk Mad Aris Mad Yusuf berkata demonstrasi itu akan mewujudkan ketegangan dan akan menjejaskan keamanan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Kami dengan rasa penuh tanggungjawab menolak sekeras-kerasnya untuk mengadakan perhimpunan itu dan meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya demi memelihara kedaulatan undang-undang di samping mengutamakan kepentingan dan keselamatan rakyat seluruhnya," katanya selepas membuat laporan tersebut.

Di SHAH ALAM, Perkasa Selangor membuat laporan polis di IPD Shah Alam di sini bagi menggesa siasatan ke atas dalang penganjur demonstrasi pada Isnin ini dan kenyataan seorang paderi yang mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Perhimpunan ini hanya akan mengganggu perjalanan mahkamah dan jelas sekali cadangan ini menghina mahkamah serta tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran perlembagaan," kata Yang Dipertua Perkasa Selangor Abdullah Mansor kepada pemberita selepas membuat laporan polis. - BERNAMA

Artikel Lain