suria

Pengusaha Bas Ekspres Boleh Mohon LPS Untuk Tahun Baru Cina 2012

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) hari ini memaklumkan bahawa para pengusaha bas ekspres kini boleh memohon lesen perubahan sementara (LPS) bagi penggunaan bas ekspres tambahan untuk kegunaan orang ramai di musim perayaan, menjelang Tahun Baru Cina 2012.

Permohonan LPS untuk musim perayaan Tahun Baru Cina ini dibuka mulai semalam hingga 16 Januari, 2012.

Tempoh sah LPS itu adalah bagi perjalanan tujuh hari sebelum dan lapan hari selepas Tahun Baru Cina, iaitu dari 16 Jan, 2012 hingga 31 Jan, 2012, kata SPAD dalam satu kenyataan di sini, Khamis.

Selain bas ekpres, syarikat-syarikat bas juga boleh memohon LPS untuk menggunakan bas sekolah, bas pekerja, bas catar, bas persiaran dan bas henti-henti sebagai bas tambahan pada musim perayaan itu, katanya.

Bas-bas yang akan digunakan sebagai bas tambahan itu perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam Pekeliling Bil 1/2012 - Garis Panduan Penyediaan Bas Ekspres Tambahan Pada Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2012, Lesen Perubahan Sementara.

Pekeliling Bil 1/2012 mengenai LPS dan borang permohonan boleh didapati dari laman web www.spad.gov.my.

Semua permohonan LPS hendaklah dikemukakan ke mana-mana Pejabat Wilayah SPAD sahaja dan kadar bayaran bagi setiap permohonan adalah RM20.

Untuk sebarang maklumat atau pertanyaan berhubung penggunaan bas tambahan ini boleh diajukan dengan menghubungi talian bebas tol SPAD di 1800-88-9600. - BERNAMA

Artikel Lain