suria

Pembangkang Ugut Mahkamah Anjur Demo 901 - Mahathir

KUALA LUMPUR: Rancangan pembangkang menganjurkan demonstrasi 'Kempen Bebaskan Anwar 901' Isnin ini disifatkan sebagai tindakan mengugut mahkamah dalam menentukan keputusan terhadap dakwaan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pembangkang menggunakan taktik berdemonstrasi bagi mempengaruhi keputusan mahkamah agar berpihak kepada mereka.

"Dia (pembangkang) cuba nak pengaruhi mahkamah. Kita tidak harus cuba mempengaruhi mahkamah dengan cara ugutan.

"Bila mahkamah buat keputusan yang menguntungkan mereka, mereka tak buat demonstrasi. Tapi sekarang bila mahkamah belum pun buat keputusan, mereka cuba nak ugut supaya mahkamah takut dengan pelbagai tuduhan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ucaptama bertajuk 'Malaysia kini dan peranan yang boleh dimainkan oleh pesara Angkatan Tentera' di Auditorium Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilaporkan bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di pekarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pada itu Dr Mahathir turut mengingatkan pembangkang supaya menghormati sistem perundangan negara serta mendokong amalan demokrasi.

"Kalau mereka mula menolak undang-undang, jangan hairan kalau orang lain juga tolak undang-undang. Esok mereka akan binasa.

"Kita mesti hormat undang-undang. Kaedah perundangan yang kita perkatakan sebelum ini...kita kena pertahankan," katanya.

Artikel Lain