suria

Pembangkang Sedia Bincang Demo 901

Malah Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali turut menyambut baik kesediaan pihak berkuasa untuk berbincang dengan pihak pembangkang mengenai perhimpunan aman tersebut.

"Saya menyambut baik kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara yang memperlihatkan kesediaan pihak polis untuk berbincang dengan PKR dan Pakatan Rakyat bagi menjamin kelancaran perhimpunan aman 901 untuk membantah rekayasa politik ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"KEADILAN menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan pihak polis demi memastikan perhimpunan aman ini berjaya diteruskan dengan aman dan teratur," katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak turut menggesa pihak polis agar bertindak secara rasional dan profesional dalam memelihara ketenteraman awam ketika berlangsungnya perhimpunan itu nanti.

"PKR turut menggesa pihak polis untuk memelihara keselamatan awam termasuk para demonstran dan rakyat keseluruhannya yang berhimpun di Kuala Lumpur.

"Kita berharap insiden keganasan seumpama tragedi UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) dan BERSIH tidak akan berulang. Ini adalah peluang terbaik Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara untuk memulihkan imej polis yang sekian lama tercalar dan mengembalikan keyakinan awam terhadap institusi polis selaras dengan janji Perdana Menteri untuk melaksanakan transformasi politik di dalam pentadbirannya," katanya.

PKR dilaporkan bertekad mengumpulkan seramai 100,000 penyokong di perkarangan Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 9 Januari ini bagi menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Lain