suria

Orang Ramai Diminta Tidak Berpusu-pusu Tukar MyKad

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) meminta orang ramai supaya tidak berpusu-pusu ke pejabat cawangan JPN untuk menukar MyKad mereka kepada MyKad struktur baru bagi mengelak kesesakan di kaunternya.

Ketua Pengarahnya Datuk Jariah Mohd Said berkata kesesakan di kaunter-kaunter itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap usaha menyiapkan MyKad dalam tempoh sehari.

Beliau berkata penukaran kepada MyKad struktur baru bukanlah sesuatu yang diwajibkan, dan ia merupakan perkhidmatan yang berpanjangan tanpa tarikh akhir yang khusus.

"Sepanjang tempoh Selasa dan semalam, Cawangan JPN Putrajaya menerima 2,984 permohonan untuk menukar kepada MyKad struktur baru, manakala cawangan Shah Alam 1,579 permohonan," menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.

Jumaat lepas JPN mengumumkan pengenalan MyKad struktur baru yang mempunyai ciri-ciri keselamatan terkini itu, yang boleh mula dipohon dari dua cawangan tersebut mulai Selasa, sebelum mula dikeluarkan di cawangan JPN seluruh negara secara berperingkat minggu depan.

Akhbar tempatan pada Rabu menyiarkan berita mengenai keghairahan orang ramai untuk menukar MyKad mereka, sehingga ada yang tiba di pejabat JPN berkenaan awal pagi, lama sebelum pejabat dibuka. - BERNAMA

Artikel Lain