suria

Muslimat PAS Kelantan Mahu Enam Calonnya Bertanding PRU-13

KOTA BAHARU: Dewan Muslimat PAS Kelantan telah mengenal pasti enam calonnya untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 akan datang, menurut Timbalan Ketua Dewan itu, Wan Ubaidah Wan Omar.

Beliau berkata pemilihan lebih ramai calon wanita oleh dewan itu menepati kehendak anggota peringkat akar umbi yang mahu suara mereka diketengahkan di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sudah sampai masanya hasrat Dewan Muslimat diberi perhatian oleh pucuk pimpinan parti memandangkan suara wanita perlu didengar dalam membela nasib golongan berkenaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis penjenamaan semula pusat penginapan Perdana Resort di Pantai Cahaya Bulan di sini, Khamis.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan ketika ditemui berkata cadangan muslimat itu boleh dipertimbangkan di peringkat pucuk pimpinan.

Ketika ini, Kelantan mempunyai empat wanita yang menyandang jawatan di peringkat DUN, Parlimen dan Dewan Negara.

Mereka ialah Wan Ubaidah sendiri di DUN Kijang dan Rohani Ibrahim (DU NTanjong Mas), Siti Zailah Yusoff (Parlimen Rantau Panjang) dan Mumtaz Md Nawi (Dewan Negara). - BERNAMA

Artikel Lain