suria

Malaysia Tawar Jual Kuasa Elektrik Kepada Singapura:Najib

PUTRAJAYA: Malaysia telah menawar untuk menjual kuasa elektrik kepada Singapura seiring dengan langkah negara-negara jiran meninjau peluang bidang-bidang baharu untuk kerjasama akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau membuat cadangan itu kepada rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong semasa sesi pemukiman Malaysia-Singapura di sini Khamis.

Menyifatkan mesyuarat itu sebagai "amat produktif dan berjaya", Najib berkata kedua-dua negara bersetuju yang mereka seharusnya meninjau langkah-langkah tambahan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala.

"Di pihak Malaysia, saya mencadangkan kepada Perdana Menteri Lee kemungkinan Malaysia menjual tenaga elektriknya kepada Singapura, yang mana beliau amat mengalu-alukannya," kata beliau dalam sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala di pejabatnya di sini Khamis.

Najib berkata bekalan kuasa itu akan dipacu oleh sektor swasta.

Sementara itu, Lee berkata Singapura amat terbuka kepada cadangan itu sekiranya termanya wajar, dengan mengambil kira perkara-perkara seperti kesan projek itu ke atas alam sekitar.

Beliau berkata yang kerajaannya sedang menyediakan rangka kerja yang sesuai berhubung perkara berkenaan.

"Sebaik sahaja siap, para kontraktor Malaysia akan dipelawa menyertai dan membida projek itu," kata beliau.

Dalam mesyuarat selama dua jam itu, Najib berkata yang beliau turut mencadangkan kepada Lee untuk mengukuhkan kerjasama penerbangan dan lapangan terbang antara Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

Najib berkata Malaysia turut meninjau untuk mengembangkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan Singapura termasuk dalam bidang-bidang pendidikan, pelancongan, kebudayaan dan kesukanan.

Najib dan Lee turut bersetuju untuk bekerjasama dalam menjajarkan rancangan spektrum frekuensi radio di kedua-dua negara untuk siaran digital dan perkhidmatan jalur lebar mudah alih.

Penjajaran itu akan membolehkan kedua-dua negara memenuhi permintaan yang kian meningkat untuk televisyen digital dan jalur lebar mudah alih, memperbaiki perayauan mudah alih serantau dan menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih yang lebih kompetitif.

Mereka bersetuju untuk berusaha ke arah pengharmonian yang lebih hebat untuk spektrum itu di rantau Asia Pasifik bagi perkhidmatan penyiaran digital dan jalur lebar mudah alih, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh kedua-dua negara. - BERNAMA

Artikel Lain