suria

Lebih 500 Laporan Polis Dibuat Di Seluruh Negara Bantah Perhimpunan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 530 laporan polis daripada pelbagai pihak dibuat di seluruh negara sehingga 2 petang hari ini bagi membantah rancangan perhimpunan oleh penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin ini.

Menurut laman Facebook Polis Diraja Malaysia (PDRM), 475 laporan diterima setakat Rabu.

Pada Khamis, dua lagi laporan polis dibuat iaitu oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan (WP) dan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM).

Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Rizalman Mokhtar menggesa polis mengambil tindakan pencegahan awal untuk menghadapi perhimpunan itu.

"Kita risau kesusahan akan berlaku bagi warga kota. Ia boleh menjejaskan rutin harian orang ramai," katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini Khamis.

Presiden PPPM Datuk Mohd Firdaus Abdullah berkata pihaknya membuat laporan polis di Kuantan pada 3 petang tadi sebagai membantah perhimpunan itu.

Beliau berkata perhimpunan itu, antara lain, akan mengundang kesusahan kepada masyarakat Cina di negara ini yang membuat persiapan menjelang perayaan Tahun Baru Cina.

"Kita dapat laporan mereka (orang Cina) dari tempat lain takut nak datang ke Kuala Lumpur untuk membeli-belah bagi menyambut perayaan mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Perhimpunan itu dirancang sempena keputusan mahkamah berhubung kes liwat yang dihadapi Anwar yang dijadual diumumkan pada Isnin. - BERNAMA

Artikel Lain