suria

Jabatan Kerajaan Yang Tidak Bersifat Perniagaan Layak Keluarkan Sijil Halal

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata hanya jabatan atau badan di bawah kerajaan yang tidak bersifat perniagaan dan membuat keuntungan layak mengeluarkan sijil halal.

Beliau berkata pemberian kuasa dan hak kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk mengeluarkan sijil halal adalah tepat kerana institusi itu tidak bermotifkan perniagaan, selain mempunyai fasiliti terbaik dalam memenuhi tuntutan halal yang sebenar.

"Mungkin ada pandangan yang mengatakan kenapa diberi kepada Jakim dan MAI Nsahaja, kenapa tak diberi peluang sama kepada pihak lain supaya banyak sijil halal dapat dikeluarkan.

"Harus diingat, pokok kepada persoalan ini bukannya kepada hendak memperbanyakkan sijil halal tetapi untuk memastikan produk yang dikeluarkan syarikat dan institusi yang diberikan sijil halal membekalkan makanan terjamin kualitinya dalam konteks halal yang sebenar," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kesedaran Halal Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dan Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.

Jamil Khir berkata pemantauan yang dibuat mendapati pihak atau badan tertentu yang bertindak mengeluarkan sijil halal sebelum ini tidak mempunyai keupayaan dari segi penyediaan makmal yang bersistematik untuk menjalankan kajian terhadap produk yang memohon status halal termasuk kemampuan dalam aspek penguatkuasaan.

Beliau berkata Jakim dan MAIN, yang kedua-duanya terletak di bawah kerajaan mempunyai keupayaan untuk menentukan hanya asid deoksiribonukleik (DNA) halal sahaja dibenarkan dalam penyediaan produk makanan kepada orang Islam menerusi makmal halal milik badan itu yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Katanya walaupun terdapat banyak makmal seumpama itu di tempat lain, namun tidak mempunyai kekuatan dalam menentukan DNA halal sahaja yang dibenarkan untuk tujuan menyediakan makanan bagi umat Islam, yang mana ia merupakan elemen penting dalam memastikan sesuatu produk itu benar-benar halal.

"Menerusi hak dan kuasa yang diberikan kepada Jakim dan MAIN, memiliki sijil dan logo halal kini telah menjadi satu nilai tambah baharu kepada pengusaha produk makanan kerana makna halal telah meliputi semua aspek seperti halal, bersih, sihat dan berkualiti," katanya.

Bermula awal bulan ini, hanya logo halal yang dikeluarkan Jakim dan MAI Nboleh digunakan dan diiktiraf susulan penguatkuasaan Akta Perihal Dagangan 2011 (APD 2011) yang diluluskan Parlimen Julai tahun lepas.

Ekoran itu, mereka yang masih menggunakan logo halal lain boleh didenda sehingga RM250,000 bagi pertubuhan perbadanan dan sehingga RM100,000 bagi orang perseorangan atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Jamil Khir berkata mereka yang menggunakan sijil halal yang diperoleh daripada pihak lain sebelum ini, perlu segera memohon bagi mendapatkan sijil sama ada menerusi Jakim atau MAIN yang telah diberikan kuasa oleh Jakim semasa tempoh Kempen Kesedaran APD 2011 yang akan berlangsung sehingga Jun, sebelum tindakan tegas diambil.

Dianggarkan 1,500 termasuk premis perniagaan seperti restoran, gerai, hotel dan pihak industri seperti kilang tidak menggunakan logo halal daripada Jakim.

Mengenai APD 2011 beliau berkata seramai 62 pegawai Jakim telah mengikuti latihan yang dikendalikan oleh pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sebagai persiapan untuk menguatkuasakan akta tersebut seperti melakukan serbuan.

Jamil Khir berkata pindaan akta itu juga memperluaskan bidang kuasa pegawai Jakim termasuk untuk mendakwa individu atau syarikat yang melanggar akta berkenaan termasuklah penyalahgunaan sijil halal.

Sebelum pindaan tersebut, kuasa pegawai Jakim hanya terhad kepada menyerbu dan melakukan siasatan manakala kuasa pendakwaan terletak pada KPDNKK. - BERNAMA

Artikel Lain