suria

Iskandar Catat Pelaburan Komited Kumulatif Bernilai RM84.78 Bilion

JOHOR BAHARU: Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited kumulatif berjumlah RM84.78 bilion dalam pelbagai sektor sejak penubuhannya hingga akhir Disember tahun lepas. Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (LPWI) pada Khamis bahawa 45 peratus daripada pelaburan komited kumulatif itu telahpun terlaksana.

"Iskandar Malaysia kini dalam Fasa Kedua Perancangan Pembangunan Menyeluruhnya yang meliputi tempoh 2011 hingga 2015," kata beliau sambil menambah pelaburan baharu berjumlah RM15.30 bilion yang diraih oleh Iskandar Malaysia tahun lepas adalah bersamaan dengan 21 peratus sasaran 2011-2015.

Sektor perkilangan dalam Iskandar Malaysia menerajui lonjakan jumlah pelaburan komited dengan pelaburan berjumlah RM31.22 bilion, diikuti oleh sektor harta yang mencatatkan RM27.30 bilion, katanya.

Antara pelaburan baharu ialah projek bernilai RM2.3 bilion oleh Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd dan pelaburan berjumlah RM2 bilion oleh kumpulan harta yang berpejabat di Beijing, Zhuoda Real Estate.

Abdul Ghani juga berkata sektor-sektor ekonomi lain dalam Iskandar Malaysia juga menunjukkan pertumbuhan pelaburan yang mampan dengan utiliti mencatatkan RM6.45 bilion, petrokimia RM3.90 bilion, serta pelabuhan dan logistik RM3.36 bilion.

Sektor pelancongan dan pendidikan dalam Iskandar Malaysia masing-masing menarik pelaburan berjumlah RM2.03 bilion dan RM1.48 bilion, manakala penjagaan kesihatan berjaya memikat pelaburan berjumlah RM1.27 bilion, katanya.

Ketua Eksekutif LPWI, Ismail Ibrahim, berkata 60 peratus daripada keseluruhan pelaburan komited kumulatif yang dicapai oleh Iskandar Malaysia merupakan pelaburan domestik manakala selebihnya adalah pelaburan asing.

"Kami tetap yakin, meskipun berhati-hati dalam 2012 disebabkan oleh keadaan pasaran yang lemah di Eropah dan Amerika Syarikat tetapi akan terus memberikan tumpuan untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai lokasi strategik untuk melabur," katanya.

Pelabur Eropah menyumbang 42 peratus daripada keseluruhan pelaburan komited asing diikuti oleh pelabur Asia (41 peratus) dan pelabur Timur Tengah (15 peratus), katanya. - BERNAMA

Artikel Lain