suria

Hubungan PKR, DAP Johor Retak Akibat Isu Pembahagian Kerusi

JOHOR BAHARU: Kemelut berpanjangan tentang isu pembahagian kerusi antara dua parti Pakatan Rakyat (PR) di Johor, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyebabkan keretakan hubungan di antara kedua-dua parti itu.

Malah Pengarah Pilihan Raya PKR Johor Steven Choong berkata kali terakhir PKR dan DAP Johor duduk semeja berunding tentang isu pembahagian kerusi pilihan raya umum ke-13 atau isu lain adalah pada bulan Julai tahun lepas.

Katanya selepas perbincangan itu PKR Johor tidak 'berhubungan' dengan DAP Johor, dengan kedua-dua parti membawa haluan masing-masing.

"Semenjak Julai tahun lepas, kami (DAP dan PKR Johor) tidak berhubungan," katanya kepada Bernama hari ini mengulas mengenai hubungan dingin kedua-dua parti berkenaan.

Steven mengakui kedua-dua parti itu telah gagal menyelesaikan masalah mereka berkenaan isu pembahagian kerusi dan kini menyerahkan kepada majlis rundingan presiden PR di peringkat pusat untuk mencari penyelesaian.

Katanya PKR Johor menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh peringkat pusat tentang pembahagian kerusi pilihan raya umum di Johor.

Beliau berkata pertelingkahan DAP dan PKR Johor itu melibatkan beberapa kerusi 'bertindih' tetapi enggan menamakan kerusi-kerusi terbabit.

Bagaimanapun pemerhati politik berkata antara kerusi bertindih yang menjadi punca pertelingkahan kedua-dua parti PR itu adalah Parlimen Gelang Patah dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya.

Pada pilihan raya umum 2008, kerusi Parlimen Gelang Patah ditandingi oleh PKR, manakala DUN Johor Jaya pula ditandingi oleh calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), sebelum ia diserap masuk ke dalam PKR.

DAP Johor dikatakan amat berminat untuk meletakkan calonnya di kedua-dua kerusi campuran itu, yang kini disandang oleh calon Barisan Nasional (BN) daripada parti MCA.

Steven menegaskan di dalam PR tidak ada parti tertentu yang lebih berkuasa berbanding parti-parti lain, dengan semua parti yang menganggotai PR memiliki kuasa dan hak yang sama.

"Tidak ada parti yang mempunyai kuasa yang lebih berbanding parti lain di dalam Pakatan Rakyat, semua sama sahaja," katanya.

Isu pembahagian kerusi antara PKR dan DAP Johor timbul apabila DAP Johor didakwa mahu jumlah kerusi yang ditandingi oleh calon-calonnya pada pilihan raya umum akan datang ditambah.

DAP Johor yang secara tradisionalnya hanya bertanding di kerusi-kerusi di mana pengundi majoritinya adalah kaum Cina, tetapi kini 'berselera' untuk bertanding di kerusi campuran yang sebelum ini ditandingi calon PKR Johor.

"PKR Johor secara konsisten bertanding di kerusi-kerusi campuran," katanya sambil turut mengkritik DAP Johor yang tidak mematuhi arahan pusat supaya tidak mengutarakan isu tentang pembahagian kerusi itu di media. - BERNAMA

Artikel Lain