suria

Dua Dikhuatiri Lemas Ketika Banjir Kilat Di Kuching

KUCHING: Dua orang dikhuatiri lemas semasa kejadian banjir kilat berlaku di bandar raya ini awal pagi Khamis.

Mereka dikenali sebagai Kho Ying Qi, pelajar Tingkatan Enam, Sekolah Menengah Kerajaan Batu Lintang dan Herman Silas, 28, pekerja stesen minyak yang berasal dari Lundu.

Kedua-duanya dipercayai dibawa arus deras di dalam sebuah parit di Jalan Rock.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Mun Kock Keong berkata gerakan mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan di sepanjang parit tersebut oleh pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam serta Jabatan Bomba dan Penyalamat.

"Menurut saksi, Herman cuba menyelamat Ying Qi yang terjatuh ke dalam parit, tetapi dia turut sama dibawa arus," katanya kepada Bernama.

Hujan lebat di sini sejak awal pagi menyebabkan beberapa jalan utama menuju pusat bandar ditenggelami air. - BERNAMA

Artikel Lain