suria

Diplomat Harap Hubungan, Dagangan Dua Hala Ditingkatkan Pada 2012

KUALA LUMPUR: Beberapa diplomat asing di Malaysia berharap tahun 2012 menjanjikan hubungan yang lebih baik antara Malaysia dan negara masing-masing.

Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia Randolph Mank berkeyakinan 2012 akan menyaksikan hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan terus berkembang.

"Malaysia adalah antara rakan perdagangan dua hala terbesar Kanada di Asia Tenggara. Saya berharap 2012 akan menyaksikan perdagangan dua hala menuruti pertumbuhan besar pelaburan dua hala yang kita nikmati pada tahun ini (2011)," katanya kepada Bernama dalam temu bual emel mengenai aspirasi Tahun Baru.

Mank, yang tiba di sini pada 2010, menyifatkan 2011 sebagai tahun yang berjaya yang menyaksikan perdagangan dengan Malaysia mencecah RM9 bilion.

"Berita pelaburan terbesar Petronas yang berjumlah RM3.3 bilion dengan Progress Energy dari kanada untuk membangunkan simpanan gas shal di British Columbia," katanya.

Wujud potensi untuk mengembangkan pelaburan itu yang menunjukkan hubungan yang semakin berkembang antara kedua-dua negara, kata Mank.

Katanya syarikat Kanada seperti Talisman, CAE Simulators, SNC Lavalin, Bombardier dan Research in Motion merasa positif terhadap Malaysia dan telah melabur hampir RM5 bilion di sini dan RM1.9 bilion lagi sedang dirancang.

Tahun 2011 menunjukkan satu lagi tahun yang berjaya apabila Gabenor-Jeneral Kanada David Johnston melakukan lawatan negaranya yang pertama dan yang pertama ke Malaysia oleh Ketua Negara Kanada, kata Mank.

Semasa lawatan itu, Johnston mengambil bahagian di dalam perbincangan meja bulat anjuran Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) yang menghimpunkan ketua industri, para pemimpin universiti dan penginovasi Kanada dan Malaysia.

"Saya rasa kita boleh menjangka hasil yang boleh dilihat tidak lama lagi. Suruhanjaya Tinggi telah komited untuk bekerjasama dengan MIGHT bagi mengubah peluang menjadi kenyataan," kata Mank.

Bagi Kesatuan Eropah (EU), keutamaan pertama bagi 2012 ialah menguruskan ekonominya dengan baik serta mewujudkan asas bagi dijalin pertumbuhan ekonomi berterusan, kata Duta dan Ketua Delegasi EU ke Malaysia Vincent Piket.

Piket merasa optimis bahawa EU berada pada landasan yang betul serta ahlinya sedang mencatatkan kemajuan di segi penyatuan fiskal dan telah mengambil langkah merangsang keusahawanan, pelaburan dan pekerjaan.

Negara-negara EU juga bersetuju mengenai cadangan strategi ke seluruh EU bagi mencatatkan pertumbuhan yang berasaskan inovasi, teknologi tinggi dan kamampanan alam sekitar, katanya.

"Walau pun berhadapan masalah ekonomi, EU terus kekal sebagai kesatuan 27 negara anggota yang berkait rapat (tidak lama lagi 28), dengan 500 juta penduduk, (yang menjadikannya) satu blok dagangan terbesar di dunia.

"Kekuatan dalamannya sangat kuat walau pun sekali sekala berhadapan masalah politik."

"Kami telah hadapi krisis sebelum ini dan kami sentiasa muncul lebih kuat dengan tenaga baharu," kata Piket.

Mengenai hubungan dua hala, matlamat 2012 EU ialah untuk mencatatkan kemajuan yang jitu terhadap tiga perundingan dua hala utama Perjanjian Perkongsian dan Kerjasama bagi Kerjasama Politik, Perjanjian Perdagangan Bebas dan Penguatkuasaan Undang-undang Hutan, serta Perjanjian Perkongsian Sukarela Perdagangan dan Tadbir Urus bagi Perdagangan kayu yang sah.

Piket berkata jika EU terus berusaha dengan baik, ketiga-tga perundingan akan selesai pada 2012.

"Pencapaian itu akan membawa hubungan Malaysia-EU ke satu paras yang baharu, dengan mewujudkan peluang kerjasama yang baharu, perniagaan rakyat individu kedua-dua pihak serta memberikan sokongan langsung bagi mencapai matlamat strategik seperti sasaran Malaysia untuk menjadi ekonomi maju menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Masood Khalid menyifatkan 2011 sebagai tahun signifikan di dalam hubungan dua hala.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Pakistan Syed Yusuf Raza Gilani telah mengadakan pertemuan dua hala yang pertama di luar aturcara Mesyuarat Ketua-Ketua kerajaan Komanwel di Perth pada Oktober.

"Semasa pertemuan itu, kedua-dua pemimpin telah mengesahkan semula komitmen masing-masing untuk mengukuhkan lagi hubungan tradisi," katanya.

Katanya perdagangan dua hala telah meningkat lebih 10 peratus dengan interaksi lebih meluas komersil dan ekonomi melalui pertukaran delegasi perniagaan, persidangan pelaburan dan penyertaan melalui pertukaran delegasi perniagaan, persidangan pelaburan dan penyertaan di dalam pameran perdagangan.

Masood berkata bidang kerjasama baharu seperti industri halal, pertanian, pendidikan dan sukan, menyaksikan peningkatan aktiviti dan bagi pertama kalinya daging Pakistan diperkenalkan di pasaran tempatan.

Pakistan turut muncul sebagai pembekal utama beras, tekstil dan ternakan ke Malaysia, katanya.

Di segi maritim, satu kapal tentera laut Malaysia turut mengambil bahagian di dalam eksersais tentera laut Aman di Karachi manakala Pakistan mengambil bahagian di dalam Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi baru-baru ini.

Jawatankuasa Bersama Kerjasama Pertahanan turut mengadakan mesyuaratnya di Kuala Lumpur, katanya.

Bagi 2012, katanya Pakistan berhasrat membina apa yang dicapainya pada tahun lepas.

"Pertukaran delegasi peringkat tinggi, mesyuarat suruhanjaya bersama, pembesaran perdagangan, lebih banyak hubungan pendidikan dan hubungan rakyat dengan rakyat berada dalam agenda kami bagi menggerakkan ke hadapan hubungan kita," kata Masood. - BERNAMA

Artikel Lain