suria

Cuepacs Minta Skim SBPA Bagi Pensyarah IPTA Dikaji Semula

PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mengkaji semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) bagi semua pensyarah gred 54 ke bawah di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata ini kerana skim itu dilihat seolah-olah tidak mengambil kira kesarjanaan dan kekananan seseorang pensyarah.

"Oleh sebab itu, Cuepacs meminta supaya satu pertemuan diadakan antara Majlis Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara itu.

"Kita juga berharap dapat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengusulkan prinsip peralihan tangga gaji yang saksama dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemantapan Skim Perkhidmatan Universiti Bil 1/2002 di sini.

Omar berkata beberapa perkara dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan MAAC itu.

Beliau berharap JPA dapat mengambil kira kekananan dan kesarjanaan 29,000 pensyarah di Malaysia dalam melaksanakan perpindahan tangga gaji di bawah skim baru itu.

"Pensyarah penting kerana mereka membentuk pemimpin negara di masa akan datang, oleh itu, kebajikan mereka perlu dijaga," kata Omar.

Sementara itu, Pengerusi MAAC Profesor Madya Dr Razli Che Razak berkata setelah meneliti kandungan SBPA, beliau mendapati hasrat Perdana Menteri, iaitu semua penjawat awam mendapat kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus menerusi skim tersebut, tidak dapat dinikmati kumpulan pensyarah berkenaan.

"Apa yang penting juga, kita harap agar kenaikan gaji di kalangan pensyarah dapat dikira mengikut kesarjanaannya dan pengalamannya," katanya.

Beliau berkata prinsip peralihan tangga gaji untuk gred 54 ke bawah dalam skim perkhidmatan universiti adalah termasuk DS, DM, DU dan DUG. - BERNAMA

Artikel Lain