suria

Wanita PKR Minta Polis Jangan Provok Perhimpunan 9 Januari

PETALING JAYA: Perhimpunan yang mahu diadakan oleh Pakatan Rakyat (PR) pada 9 Januari ini untuk menunjukkan sokongan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi sebuah perhimpunan aman jika pihak polis bijak dan bersikap profesional dalam mengawal keadaan.

Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamaruddin berkata, pihak polis harus menggunakan kebijaksanaan mereka untuk mengawal situasi perhimpunan yang bakal diadakan di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, pada Isnin depan.

Keputusan kes perbicaraan liwat Anwar akan ditentukan 9 Januari ini selepas tiga tahun dibicarakan.

Katanya, perhimpunan itu merupakan satu perhimpunan aman dan tanda sokongan terhadap pemimpin mereka semata-mata tanpa melibatkan sebarang provokasi.

"Kalau tak ada provokasi polis, semuanya teratur, tempat diberi dan polis tak buat kacau, kita jangkakan perhimpunan ini akan aman dan terkawal.

"Kalau di Mekah empat juta orang masuk ke dalam tempat yang kecil boleh dikawal, mengapa perlu ada masalah kalau sekadar 100,000 orang," katanya pada sidang media Wanita Keadilan Menyokong Kempen Bebas Anwar 901 yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, dekat sini, Rabu.

Hadir sama pada sidang akhbar itu ialah Ketua Srikandi PKR, Siti Aishah Shaik Ismail, Naib Ketua Wanita PKR, Haniza Talha dan beberapa pemimpin wanita PKR.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, sekiranya ada ibu bapa bawa anak-anak ke perhimpunan itu nanti, mereka tidak harus dikejar kerana itu salah satu bentuk provokasi.

"Ini adalah perhimpunan aman. Kalau ikut standard antarabangsa tak ada halangan untuk bawa anak-anak, semuanya ikut pertimbangan ibu bapa.

"Ibu bapa juga bijak. Tak seorang pun yang mahu lihat anak mereka dalam keadaan bahaya," jelasnya.

Dalam pada itu beliau berkata, sama ada Anwar dipenjarakan atau tidak, Wanita Keadilan tetap terus komited memperkuatkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-13).

Pada perhimpunan Isnin ini, sayap parti PKR itu telah memutuskan untuk memakai baju berwarna hitam dan putih yang disifatkan sebagai simbol keadilan.

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain