suria

Seorang Lelaki Warga Indonesia Mati Ditikam

KUALA LUMPUR: Akibat dendam dan cemburu, seorang lelaki warga Indonesia mati selepas ditikam lelaki tidak dikenali di tepi jalan berhampiran rumahnya di Lorong Keramat 7, di sini pada Rabu.

Mangsa yang berumur dalam 40-an itu ditikam di bahagian bawah pusat dan belakang badannya dan meninggal dunia di tempat kejadian pada kira-kira 7.30 pagi.

Dia dikatakan sedang menunggu isterinya untuk pergi bekerja di Pasar Datuk Keramat dalam kejadian 7.30 pagi itu.

Saksi memberitahu polis, seorang lelaki memakai T-shirt berwarna putih dan memakai topi keledar penuh dan menunggang motosikal dilihat menghampiri mangsa yang berdiri di tepi jalan dan kemudian bertindak menikam mangsa.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan ketika dihubungi hari ini berkata motif pembunuhan dipercayai ada kaitan dengan dendam dan cemburu.

"Siasatan awal mendapati motif pembunuhan bukan disebabkan samun kerana barang-barang mangsa masih ada," katanya.

Mangsa difahamkan telah bermastautin di negara ini lebih 30 tahun.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain