suria

Seorang Ketua Jurutera Ditahan Rasuah Polis Lebih RM15,000

KOTA KINABALU: Tindakan seorang ketua jurutera cuba untuk merasuah polis dengan wang sejumlah lebih RM15,000 bagi membebaskan rakannya daripada disabitkan kesalahan kerana memiliki dadah membawa padah.

Suspek yang berasal dari Pahang dan bekerja dengan syarikat perkapalan di luar pesisir pulau Labuan ditahan kerana didakwa cuba menyogok sejumlah wang kepada pegawai penyiasat.

Ketua Polis Labuan, Superitendan Saiman Kasran berkata, rakan suspek yang berasal dari Kedah itu telah ditahan lebih awal di pejabat pos kerana memiliki dua paket mengandungi dadah jenis syabu seberat hampir 13 gram yang diterima dari Selangor.

Pegawai penyiasat menerima satu panggilan daripada suspek yang mendakwa paket berkenaan adalah kepunyaaannya ketika dalam perjalanan ke balai polis, kata Saiman.

Jurutera terbabit pada mulanya menawarkan sebanyak RM6,000 sebagai tanda untuk membebaskan rakannya daripada ditahan dan meminta untuk melupakan kes tersebut.

Saiman berkata, pegawai penyiasat berpura-pura dengan mengumpan untuk bersetuju menemui suspek di terminal feri lama di mana suspek telah ditahan dengan wang sebanyak RM15,657.

Beliau menambah, suspek dan rakannya, masing-masing dalam lingkungan umur 30-an didapati positif dadah hasil ujian air kencing.

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain