suria

Polis Berjaya Kurangkan Jenayah Pada 2011

NILAI: Strategi yang dilaksanakan oleh polis untuk membanteras jenayah menampakkan keberkesanan apabila kadar indeks jenayah di negara ini mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus berbanding sasaran awal, 5 peratus pada tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, anggota polis turut berjaya mencapai sasaran di bawah Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk mengurangkan indeks jenayah jalanan sehingga 40 peratus.

Kejayaan itu adalah juga hasil kerjasama dengan agensi-agensi lain dan badan sukarelawan seperti Jabatan Pertahana Awam dan Rela.

"Kami meletakkan sasaran untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus tetapi berjaya mencatatkan penurunan lebih baik. Indeks jenayah jalanan turut menurun kepada 39.7 peratus pada tahun lalu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di Mantin pada Rabu.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar.

Ismail berkata, polis mensasarkan untuk mengurangkan kadar indeks jenayah sebanyak 5 peratus lagi tahun ini.

"Kami mahu menekankan bahawa kehadiran polis di mana saja kerana ingin rakyat berasa selamat sepanjang masa. Saya mahu polis dan orang ramai berinteraksi lebih kerap dalam usaha membanteras jenayah," katanya.

Menurutnya, beliau menyedari bahawa orang ramai masih prihatin terhadap kegiatan jenayah dan sanggup bekerjasama dengan polis untuk membanteras sebarang ancaman.

"Saya mahu kawasan perumahan dan pengurusan kilang bekerjasama dengan kami. Kami memerlukan sokongan anda untuk membanteras jenayah secara efektif," katanya.

Mengulas mengenai perasmian Ibu Pejabat Daerah Nilai itu, Ismail berkata, ia dibina untuk meningkatkan mutu perkhidmatan anggota polis.

"Kami mahu polis bertindak lebih cepat apabila diperlukan. Dengan pembinaan ibu pejabat baru ini, diharap polis dan orang ramai dapat berinteraksi dengan lebih baik," katanya.

Jelas beliau, pembinaan ibu pejabat baru itu amat diperlukan kerana bilangan penduduknya semakin bertambah.

"Terdapat sebanyak 83 kilang dan 107 kawasan perumahan di sini. Ia memiliki kira-kira 280,000 penduduk," katanya.

Ismail berkata, Nilai juga merupakan hab pendidikan untuk negeri itu.

Katanya, sebuah balai polis baru akan dibina di Bandar Baru Nilai dengan keluasan 3.6ha untuk memantau keselamatan penduduk di kawasan tersebut.

Mengenai demonstrasi 'Bebas Anwar 901' yang dirancang oleh beberapa kumpulan di Kuala Lumpur pada 9 Januari ini, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai agar tidak menyertainya.

Dua kumpulan telah merancang untuk mengadakan demonstrasi 'Rakyat Hakim Negara' dan Bebas Anwar 901' pada hari itu.

"Ia tidak wajar dilakukan. Mahkamah akan menentukan sama ada seseorang itu bersalah atau tidak, bukan orang ramai yang menentukan sama ada untuk membebaskan seseorang," katanya.

Ismail berkata polis mempunyai strategi tertentu berlandaskan undang-undang bagi membendung demonstrasi itu.

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain