suria

Penjawat Awam Diingatkan Jangan Terlibat Demonstrasi 'Bebaskan Anwar 901'

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said mengingatkan penjawat awam di negeri ini agar tidak melibatkan diri dengan demonstrasi Kempen "Bebaskan Anwar 901" yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin ini.

Beliau berkata penjawat awam yang didapati terlibat dengan demonstrasi ini akan dikenakan tindakan disiplin.

Penganjur kempen ini merancang mengadakan demonstrasi pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusan mengenai perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin ini.

Ahmad berkata demonstrasi yang dirancang penyokong Anwar, Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau pakatan pembangkang itu, cuba menimbulkan huru-hara seolah-olah mereka tidak mempercayai proses perundangan dan keadilan melalui mahkamah.

"Ini satu perkara yang tidak harus berlaku. Inilah trend yang dilakukan oleh pembangkang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di sini Rabu.

Beliau berkata ini bukan satu cara yang betul dan ia sepatutya diserahkan kepada hakim untuk membuat keputusan melalui keadilan mahkamah, katanya.

Ahmad berkata Kementerian Dalam Negeri dan polis perlu mengambil tindakan tegas kerana perkara itu tidak harus dibiarkan berlaku.

"Perkara ini seolah-olah ingin mempengaruhi mahkamah atau menakut-nakutkan hakim dalam membuat keputusan," katanya.

Mengenai pembangkang kawasan Batu Buruk yang ingin melaporkan kononnya berlaku penyelewengan pendidikan Menteri Besar Terengganu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad berkata, "biar dia bawalah".

Ahmad berkata, SPRM pernah menyiasat beliau akibat difitnah selama tiga tahun setengah dan menjadi calon Barisan Nasional (BN) setelah "dibersihkan" oleh SPRM.

"Saya dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu juga setelah "dibersihkan" oleh SPRM. Saya nak takut apa," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain