suria

Najib Terima Lawatan PM Singapura Esok

PUTRAJAYA: Seri Najib Tun Razak Razak akan menerima lawatan kerja Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong sempena Sesi Permukiman Malaysia-Singapura di sini pada Khamis.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini Rabu, kedua-dua pemimpin itu dijangka meneliti perkembangan kerjasama dua hala sedia ada dan menerokai inisiatif baru dalam bidang-bidang yang berpotensi untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Singapura.

Satu kenyataan bersama akan dikeluarkan oleh kedua-dua pemimpin di akhir sesi permukiman itu.

Sesi permukiman pertama berlangsung pada Mei 2007 di Langkawi, diikuti dengan sesi kedua di Singapura pada Mei 2010.

Pada 27 Jun lepas di Putrajaya, Malaysia dan Singapura telah menandatangani Perjanjian Pelaksanaan "Points of Agreement" (POA) 1990 ke atas tanah-tanah Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Singapura.

Menurut kenyataan itu, perkembangan signifikan dalam pelaksanaan perjanjian itu berjaya dicapai, termasuk aspek-aspek kerjasama di Iskandar Malaysia yang mencerminkan komitmen jitu kepimpinan kedua-dua negara bagi memantapkan hubungan dua hala ke peringkat lebih tinggi. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain