suria

Masyarakat Orang Asli Sambut Baik Langkah Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA: Masyarakat Orang Asli menyambut baik langkah pengambilalihan bahagian penjagaan kesihatan Orang Asli daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah oleh Kementerian Kesihatan.

Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid Suhut, berkata beliau menjangka langkah itu akan memantapkan lagi aspek penjagaan kesihatan masyarakat Orang Asli.

"Kini sudah ada dua kementerian yang menjaga Orang Asli, satu kebajikan dan satu lagi kesihatan, dengan ini saya rasa kesihatan masyarakat kami akan lebih terjaga.

"Saya bagi pihak Orang Asli sememangnya gembira dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan, kami amat menyambut baik langkah ini," katanya ketika dhubungi Bernama di sini.

Semalam satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Kesihatan mengenai pengambilalihan itu.

Selaras dengan pengambilalihan itu RM12.7 juta yang diperuntukkan kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menjaga kesihatan Orang Asli akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan.

Majid berkata beliau berharap kerajaan dapat menimbangkan pengambilan lebih banyak kakitangan di hospital dari kalangan masyarakat Orang Asli kerana kini sudah ramai daripada mereka yang mengambil bidang kejururawatan.

Ketika ini terdapat 141,000 Orang Asli di Semenanjung Malaysia, dengan Perak mencatat jumlah tertinggi seramai 55,000 orang. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain