suria

Malaysiakini Mohon Maaf Kepada Taib Mahmud

KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menarik balik saman terhadap portal berita Malaysiakini berhubung artikel fitnah selepas portal itu memohon maaf secara terbuka dalam mahkamah pada Rabu.

Hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop, yang mendengar kes itu, merakamkan kenyataan yang dibacakan oleh peguam kedua belah pihak.

Beliau juga tidak mengeluarkan perintah termasuk kos kerana kedua-dua pihak bersetuju tiada perintah berhubung kos perundangan.

Pada 2007, Abdul Taib memfailkan saman menamakan penerbit Malaysiakini, Mkini Dotcom dan ketua editor portal Gan Diong Keng yang juga dikenali sebagai Steven Gan, sebagai defendan selepas portal berita itu memuatkan siri 12 artikel antara 6 April dan 3 Mei, 2007 yang didakwanya mengandungi perkataan fitnah mengenai beliau.

Peguam defendan Fahri Azzat, yang membacakan kenyataan itu berkata artikel-artikel itu yang diterbitkan oleh defendan semata-mata berdasarkan laporan berita beberapa media Jepun yang diterbitkan pada masa itu tanpa mengesahkan kebenaran laporan-laporan berita dengan pihak berkuasa yang lain atau plaintif sendiri.

"Kami faham bahawa Biro Percukaian Wilayah Tokyo telah mengubah keputusannya berhubung isu ini, menjadikan tohmahan daripada sogokan sebenarnya tidak berasas dan oleh itu tidak ada asas," katanya.

Fahri berkata defendan kesal atas sebarang sindiran yang tidak diingini dan bersetuju dan telah mengambil usaha untuk menahan diri daripada terus menerbitkan sebarang laporan berita atau kenyataan mengenai plaintif dalam isu sogokan membabitkan syarikat perkapalan Jepun kepada syarikat luar pesisir Hong Kong dikenali sebagai Regent Star.

"Kami akui bahawa artikel itu menyebabkan plaintif malu, mengalami kesusahan dan mencemarkan reputasinya dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dialami beliau.

"Selaras dengan permohonanan maaf, kami akan menerbitkan berita bahawa Biro Percukaian Wilayah Tokyo telah memutuskan bahawa jumlah yang dibayar oleh syarikat perkapalan Jepun adalah pembayaran yang sah," katanya.

Peguam Abdul Taib, Robert Lazar semasa membacakan kenyataan itu berkata defendan kini sedar dan mengiktiraf bahawa kenyataan yang dibuat mereka pada keseluruhannya adalah salah dan tanpa asas, yang merupakan satu fitnah yang teruk terhadap reputasi Abdul Taib sebagai seorang individu, ahli politik dan pemimpin kerajaan negeri Sarawak.

"Defendan kini menerima kesilapan serius mereka dalam menerbitkan kenyataan-kenyataan yang mengaitkan mereka kepada plaintif secara peribadi dan mengakui kerosakan yang agak teruk, memalukan dan menyulitkan terhadap plaintif berikutan penerbitan kenyataan-kenyataan itu oleh defendan," kata Lazar.

Katanya defendan-defendan melalui peguam mereka memohon maaf dan melahirkan perasaan kesal mereka dan terus terang menarik balik semua tohmahan yang dilontarkan terhadap plaintif dengan penerbitan kenyatan-kenyataan itu.

Dalam samannya, Abdul Taib mendakwa perkataan fitnah dalam artikel itu membawa makna yang difahami oleh yang lain bahawa beliau memperoleh RM32 juta hasil daripada kegiatan pembalakan haram di Sarawak dan melakukan satu jenayah dan prosiding jenayah boleh dihadapkan ke atasnya.

Beliau menuntut ganti rugi, faedah, kos dan sebarang relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain