suria

Khairy Diarah Beri Keterangan Dalam Kes Saman Kalimullah Terhadap Chang

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah Datuk Seri Kalimullah Masheerul Hassan terhadap peguam Matthias Chang Wen Chieh.

Hakim Datuk Asmabi Mohamad membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Khairy untuk mengetepikan sapina terhadap beliau untuk memberi keterangan sebagai saksi Chang dalam kes saman tersebut.

Selain itu, mahkamah memerintahkan Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau, membayar RM3,000 sebagai kos kepada.

Asmabi membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Rashid Ismail yang mewakili Khairy dan Datuk R.K.Nathan bagi Chang.

Pada 2 Dis lepas, mahkamah membenarkan permohonan pengasas Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing, Tan Sri Lim Kok Wing untuk mengetepikan sapina serupa manakala bekas pengarah South Peninsular Industries Bhd Tan Sri Azman Hashim akan memberi keterangan pada perbicaraan kes itu selepas beliau menarik balik permohonannya untuk berbuat demikian.

Mahkamah turut membenarkan permohonan bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 20 Dis untuk mengetepikan sapina berkenaan.

Mereka disapina untuk memberi keterangan sebagai saksi Chang pada perbicaraan kes saman Kalimullah, bekas timbalan pengerusi New Straits Times Press Bhd yang sedang berjalan.

Perbicaraan kes itu dijadual disambung pada 10 Jan ini. Kalimullah memfailkan saman itu selepas mendakwa Chang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap beliau pada 13 Jun 2006 dalam satu sidang akhbar dan laporan mengenainya disiarkan Singapore Straits Times menerusi koresponden rakyat Malaysia iaitu Leslie Lau.

Beliau menuntut ganti rugi RM50 juta, kos, faedah dan perintah injunksi bagi menghalang Chang daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.

Katanya, perkataan dalam artikel itu bermaksud beliau seorang rakyat Malaysia yang tidak jujur, tidak ada kredibiliti, tidak boleh dipercayai, tercemar, keji, pengecut, suka memanipulasi dan penipu.

Chang, juga memfailkan tuntutan balas terhadap Kalimullah pada 14 Julai 2006, antara lain memohon ganti rugi RM150 juta. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain