suria

Forensik Bukit Aman Bantu Siasat Kes Bunuh Empat Sekeluarga Di Sibu

SIBU: Kes pembunuhan kejam empat sekeluarga di sini Selasa, kini mendapat bantuan siasatan pasukan forensik dari Bukit Aman, kata Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail pada Rabu.

Beliau berkata pasukan dengan enam anggota itu diteraju Ketua Bahagian Forensik Bukit Aman ACP Liaw Kam Soon.

Ahli perniagaan Ling Tong Hock, 36, anak lelakinya Lung Chei Qi, 10, anak perempuan Amy Ling Zi Jiun, tujuh, dan ibunya Leong Nyuk Lan, 76, ditemui mati kira-kira 7 pagi semalam, di kediaman mereka di RTM Road.

Seorang lagi anak lelaki Tong Hock, Kelvin Ling Chei You, lapan, dirawat di Unit Rawatan Rapi di Hospital Sibu akibat kecederaan parah di kepala.

Shafie berkata polis telah mendapatkan perintah reman terhadap seorang wanita bermula Rabu bagi tempoh seminggu untuk membantu siasatan.

Isteri baru Tong Hock, Li Xiao Lan, 28, seorang warga China, berjaya melarikan diri menerusi tingkap ke rumah jiran ketika serangan.

Shafie berkata Kelvin Ling dijadualkan dipindah ke Hospital Kuching pada Rabu, namun cuaca buruk di Simunjan menyebabkan perjalanan dengan helikopter itu ditangguh.

Tiga kanak-kanak terbabit sepatutnya memulakan sesi persekolahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Sin, di sini Rabu.

Penolong Kanan (Bahagian Pelajar) sekolah, Hii Kiing Hiong berkata bapa dan ibu tiri mereka mendaftarkan kanak-kanak terbabit di sekolah berkenaan pada 30 Dis lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

AirAsia X Tawar Tambang Murah

Artikel Lain