10 Pelancong Asing Nyaris Maut Bas Dinaiki Tiba-Tiba Terbakar - Semasa | mStar

10 Pelancong Asing Nyaris Maut Bas Dinaiki Tiba-Tiba Terbakar

MELAKA: Sepuluh pelancong warga asing serta seorang pemandu sebuah bas henti-henti nyaris maut apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar di Lebuh Raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) berhampiran Semabok di sini, Rabu.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba Jalan Kubu, Mohd Shahril Zauni berkata, ketika kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, bas milik syarikat Town Bus Service Sdn Bhd tersebut sedang dalam perjalanan dari Ujong Pasir ke stesen bas Melaka Sentral dengan membawa pelancong dipercayai warganegara China.

Beliau berkata, bahagian belakang bas tiba-tiba mengeluarkan asap dipercayai akibat masalah teknikal pada enjin kenderaan tersebut.

"Pemandu bas, Laganathan Doraisamy, 61, sempat memberhentikan kenderaan di tepi jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan Semabok bagi membolehkan penumpang menyelamatkan diri sebelum api marak," katanya di sini, Rabu.

Katanya, dua jentera bomba masing-masing dari Balai Bomba Jalan Kubu dan Bukit Katil bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 12.33 tengah hari. Mohd Shahril berkata, seramai 12 anggota serta pegawai bomba berjaya mengawal kebakaran kira-kira 1.15 petang, namun bas tersebut telah musnah.

Katanya, kerugian dan punca sebenar kejadian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain