suria

Tema ‘Bersihkan Malaysia’ Fokus Konvensyen Pakatan Rakyat

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan konvensyen yang bertema ‘Bersihkan Malaysia’ pada 13 dan 14 Januari ini di Alor Setar, Kedah dengan memberikan fokus khusus kepada pembentukan manifesto pakatan itu.

“Kita akan membincangkan beberapa isu pokok yang akan menjadi asas kepada manifesto Pakatan Rakyat selain yang tertera dalam Buku Jingga,” kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, Selasa.

Buku Jingga merupakan manifesto utama yang terus menjadi pegangan dasar PR sekiranya mereka menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Isu-isu yang menjadi fokus dalam konvensyen selama dua hari itu antara lain melibatkan perkhidmatan awam, mahasiswa dan juga isu-isu federalisme.

Dalam pada itu, Anwar mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan satu saluran media khas yang dikendalikan oleh suruhanjaya itu sendiri sewaktu berlangsungnya pilihan raya nanti.

Ini katanya, supaya semua isu dan berita dilaporkan secara bebas dan telus yang dikendalikan oleh SPR.

“Mesti ada ruang dan pendedahan kepada semua parti yang bertanding secara adil,” katanya lagi.

Artikel Lain