suria

Rakyat Perlu Sedar Helah Dan Agenda Kempen 'Bebas Anwar 901' - Mohamad

SEREMBAN: Masyarakat perlu berfikir secara rasional dan menyedari helah dan agenda tersembunyi pihak tertentu melalui demonstrasi haram "Kempen Bebas Anwar 901" yang dirancang di ibu negara 9 Januari ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata orang ramai juga perlu tahu kempen yang kononnya menuntut keadilan bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim itu hanya bersifat kepentingan peribadi semata-mata, selain menyalahi undang-undang negara.

"Kita minta kerajaan menguatkuasakan undang-undang...kita mesti hormati undang-undang kerana apa guna kita ada undang-undang tapi kita langgar undang-undang," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan kongres tahunan ke-81 Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan di sini, Selasa.

Kempen itu dirancang sayap Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang keputusan perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar yang juga Ketua Umum parti itu pada 9 Januari ini.

Mohamad berkata rakyat termasuk mereka yang menganjurkan kempen tersebut seharusnya menghormati apa juga keputusan mahkamah dan menggunakan saluran yang betul bagi mengemukakan rayuan jika tidak berpuas hati terhadap keputusan yang dibuat nanti.

Katanya, sebarang tindakan membantah keputusan yang dibuat oleh mahkamah menerusi demontrasi hanya akan menjadikan negara ini sebagai sebuah negara anarki di mana sistem perundangan tidak dihormati dan rakyat bebas melakukan sesuatu.

"Adalah amat malang jika negara yang kita bina sejak merdeka ini kembali kepada zaman anarki. Janganlah hancurkan sesuatu yang kita bina sekian lama, bagilah peluang kepada mereka yang dahagakan keamanan," katanya.

Mengenai tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia yang mengadakan perhimpunan haram di Universiti Pendidikan Sultan Idris bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 baru-baru ini, Mohamad meminta mahasiswa di institusi pengajian tinggi negeri ini tidak terpedaya dan menyertai aktiviti seperti itu.

Mahasiswa perlu bertindak bijak dengan menumpukan perhatian kepada tugas utama sebagai pelajar dan tidak menyertai aktiviti membuang masa seperti itu yang boleh menghancurkan masa depan mereka dan harapan ibu bapa mereka, katanya.

"Bukan senang untuk masuk ke menara gading...kalau dikenakan tindakan dibuang universiti kerana menyertai aktiviti seperti ini, ia akan menghancurkan harapan semua orang, adakah ini balasan terhadap ibu bapa dan keluarga serta saudara mara?," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain