suria

Polis Terengganu Pantau IPTA Dan Pergerakan Pelajar Berhubung AUKU

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu sedang memantau pergerakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di negeri itu bagi memastikan tidak ada cubaan untuk mengadakan demonstrasi atau perhimpunan haram berkaitan isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustafa berkata setakat ini keadaan adalah terkawal.

"Tidak ada sebarang tindakan daripada pelajar IPTA yang berlaku berkaitan AUKU. Kita sentiasa memantau keadaan dan setakat ini tidak ada laporan negatif mengenai perkara itu," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau mengulas demonstrasi yang berlaku di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak dua hari lepas apabila 17 mahasiswa termasuk seorang penuntut wanita ditahan kerana membawa keranda, tidur di atas jalan dan cuba memanjat pagar kampus berkenaan.

Jamshah berkata apa yang berlaku di Tanjung Malim itu tidak sepatutnya terjadi dan pelajar sepatutnya yakin dengan pucuk pimpinan negara dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) telah membuat satu tindakan yang jelas iaitu memenuhi suara rakyat, banyak undang-undang telah dimansuhkan dan kerajaan juga akan mengkaji semula AUKU.

Jadi saya rasa tunggu sajalah," katanya.

Mengenai perhimpunan haram di ibu negara yang dirancang pada 9 Januari ini, Jamshah mengingatkan pelajar di negeri ini supaya jangan terpengaruh dengan hasutan pihak tertentu dan tidak menyertainya.

Katanya, pelajar perlu sedar perhimpunan yang dirancang itu adalah berunsur dan bermotifkan politik yang tidak membawa sebarang kebaikan.

"Di kalangan parti politik ada ura-ura mereka menggalakkan penyokong mereka di Terengganu untuk ke Kuala Lumpur menyertai perhimpunan itu. Namun di kalangan pelajar sehingga ini kita belum menerima maklumat," katanya.

Perhimpunan "Kempen Bebas Anwar 901" yang dirancang pada 9 Januari ini di Kuala Lumpur adalah untuk membela pembebasan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim. - BERNAMA

Artikel Lain