suria

Pesuruhjaya PAS S'gor Sahkan Jumpa Dr Aziz Bari

PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman mengesahkan bahawa beliau ada bertemu dengan bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari beberapa hari yang lalu tetapi tidak membincangkan soal calon pilihan raya umum akan datang.

Oleh yang demikian katanya, spekulasi yang mengatakan Dr Aziz Bari mungkin akan diletakkan sebagai calon PAS menggantikan Datuk Dr Hasan Ali di Gombak Setia tidak berbangkit sama sekali.

Bagaimanapun Pesuruhjaya PAS Selangor itu tidak menolak kemungkinan perbincangan untuk menamakan pensyarah kontroversi itu sebagai salah seorang calon PAS di Selangor berlaku di peringkat Pusat tanpa membabitkan PAS negeri.

"Spekulasi tetap menjadi spekulasi, saya tidak tahu langsung tentang percaturan berkenaan. PAS Selangor tak tahu sama ada Dr Aziz disenaraikan sebagai calon ataupun tidak.

"Tapi kalau perbincangan dibuat di peringkat PAS Pusat saya tak pasti. Mereka mempunyai kuasa yang lebih besar untuk menentukan calon," katanya kepada mStar Online di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai spekulasi yang dibuat Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa hasrat Abdul Aziz untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat di Selangor merupakan satu lagi strategi bagi mengenepikan Dr Hasan di negeri berkenaan.

Dr Hasan yang juga Pengerusi Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Negeri Selangor merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia.

Namun Abdul Rani yang juga ADUN Meru menegaskan bahawa kedudukan Hasan serta semua wakil rakyat parti itu akan ditentukan oleh PAS Pusat.

"Kita belum tahu nasib Dr Hasan, semua itu urusan PAS Pusat. PAS Selangor hanya kemukakan cadangan tapi keputusan muktamad adalah di tangan mereka," katanya.

Sementara itu ditanya sama ada pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Abdul Aziz mengenai kedudukan beliau dalam PAS serta hasrat bertanding pada pilihan raya akan datang Abdul Rani berkata: "Saya ada berjumpa beliau beberapa hari yang lalu, tapi tiada perbincangan khusus dibuat mengenai perkara ini.

"Kami tidak berbincang mengenai soal calon," ujarnya lagi.

Sebelum ini Abdul Aziz mengumumkan kesediaannya untuk bertanding sebagai calon Pakatan Rakyat pada pilihan raya akan datang namun tidak menyatakan secara khusus parti manakah yang bakal disertainya.

Artikel Lain