Persiapan Sekolah Dua Bersaudara Hangus Dijilat Api - Semasa | mStar

Persiapan Sekolah Dua Bersaudara Hangus Dijilat Api

KUALA TERENGGANU: Dua bersaudara hari ini memulakan sesi persekolahan mereka dalam keadaan serba kekurangan setelah rumah mereka hampir hangus dijilat api di Kampung Bukit Bayas di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, hampir semua peralatan sekolah termasuk dokumen-dokumen penting milik Ibrahim Fikri Rosli, 7, serta sepupunya Lufti Hakim Che Rosli, 8, gagal diselamatkan.

Saksi kejadian yang juga kakak kepada Ibrahim Fikri, Teh Nor Saleha Rosli, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang tidur bersama dua anaknya dalam sebuah bilik di rumah dua tingkat itu.

"Saya hanya sedar ada kebakaran apabila suami (Syed Mohd Ridhuan Syed Ali, 36) yang berada di tingkat bawah datang mengejutkan saya dan anak-anak.

"Saya tak pasti punca sebenar kebakaran tapi percaya ia berpunca daripada litar pintas," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Menurut Teh Nor Saleha, rumah itu disewa sejak lebih setahun lalu oleh keluarganya dan keluarga kakaknya, Teh Nor Aisyah Rosli, 26, dan didiami oleh 10 anggota keluarga mereka.

Sementara itu, api yang marak akibat kebakaran itu turut memusnahkan sebahagian rumah jiran berhampiran.

Menurut penghuni rumah tersebut, Wan Zulkifli Wan Salleh, 47, dia dan isterinya, Rohani Alim, 44, terbau asap sebelum diberitahu oleh orang yang lalu-lalang bahawa rumah mereka turut terbakar.

"Saya bersyukur kerana sempat menyelamatkan tong-tong gas dan barangan elektrik. Bagaimanapun, semua kain baju kami hangus terbakar," katanya yang telah menyewa rumah berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamed Kassim ketika dihubungi berkata empat buah jentera dengan 17 anggota mengambil masa 15 minit memadamkan kebakaran.

Katanya punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan jumlah kerugian dianggarkan mencecah RM100,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan