suria

Perhimpunan Jalanan Hanya Bawa Kekecohan - Shahrizat

PUTRAJAYA: Perhimpunan haram Kempen "Bebaskan Anwar 901" pada Isnin ini, tidak wajar diadakan kerana ia akan membawa kepada kekecohan semata-mata disebabkan oleh seorang individu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

"Jangan kerana hanya seorang (individu) sahaja, negara jadi huru-hara," katanya merujuk kepada perhimpunan haram itu yang dirancang pada hari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan keputusannya mengenai perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin ini.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno berkata, selain menyalahi undang-undang, perhimpunan haram itu juga boleh menimbulkan risiko terhadap keselamatan orang ramai.

"Jadi kami minta polis supaya ambil tindakan sewajarnya. Kita tak nak negara dijadikan medan untuk mereka yang mempunyai kepentingan, membawa isu-isu ke peringkat jalanan, negara kita ada undang-undang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Kebajikan Rakyat 1Malaysia Orang Kelainan Upaya (KAR1SMA OKU) di sini, Selasa.

Beliau seterusnya meminta supaya bekas Presiden Majlis Peguam Datuk S.Ambiga menyatakan pendirian berhubung perhimpunan yang bertemakan 'Rakyat Hakim Negara' itu.

Katanya, sebagai seorang peguam, Ambiga perlu menjelaskan pendapatnya berhubung perhimpunan itu, terutama mengenai tema perhimpunan.

"Saya nak tahu bagi pihak Wanita Umno apakah pendirian Ambiga...(mengenai) rakyat menjadi hakim negara sebab dia seorang peguam. Saya nak dia perjelaskan apa pendirian dia," kata beliau.

Menurutnya, Wanita Umno juga akan membuat laporan polis bagi membantah cubaan untuk menganjurkan perhimpunan haram itu. - BERNAMA

Artikel Lain